Dua cedera akibat letupan di Kem Hobart

Dua cedera akibat letupan di Kem Hobart

ADZLI ABU SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURUN: Dua anggota tentera berpangkat koperal dan sarjan cedera di bahagian lutut setelah senjata api yang digunakan ketika latihan di Kem Hobart, di sini meletup akibat masalah teknikal, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pu­kul 6 petang, mangsa berusia 35 tahun yang merupakan jurulatih mengalami kecederaan di bahagian lutut kanan sehingga memerlukan lapan jahitan.

Seorang lagi mang­sa berusia 29 tahun cedera lutut kiri dan masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Ha­lim, Sungai Petani kerana di­khuatiri melibatkan kecedera­an saraf.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adz­li Abu Shah berkata, kecedera­an dialami kedua-dua mangsa disahkan bukan akibat peluru sebaliknya serpihan atau benda yang terpelanting ketika senjata itu meletup secara tiba-tiba.

“Siasatan awal mendapati ber­laku masalah teknikal apabila senjata tiba-tiba mengalami ‘stoppages’ atau gagal berfungsi ketika latihan.

Selepas prosedur kese­la­matan diambil termasuk me­ngo­songkan senjata dan di­ba­ringkan, tiba-tiba berlaku le­­tupan.

“Siasatan kini menjurus kepada kemungkinan letupan itu menyebabkan serpihan objek asing melantun sehingga mencederakan kedua-dua anggota dan doktor turut sahkan kecederaan konsisten kerana terkena objek asing dan bukannya tembakan peluru,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Menurut Adzli, pemeriksaan awal turut mendapati kompo­nen regulator pada sistem gas senjata berkenaan tercabut, namun punca sebenar masih memerlukan penelitian lanjut oleh pakar persenjataan.

Katanya, pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pakar persenjataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah meninjau lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan terperinci.

“Meskipun ia dipercayai berpunca daripada masalah teknikal dan bukannya kecuaian ang­gota atau terkena tembakan peluru kita masih membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960 bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Beberapa saksi termasuk pegawai berpangkat mejar yang bertugas sebagai pemerhati latihan telah ditemubual, manakala rakaman percakapan rasmi akan diambil selepas keadaan mang­sa stabil,” katanya.

Ujar beliau, latihan berkena­an melibatkan 300 pegawai dan anggota tentera dari Kem Bukit Cawder, Perlis yang bermula Ahad lalu hingga Khamis ini.

Dalam pada itu, siasatan polis terhadap kes kematian melibatkan dua anggota tentera akibat letupan bom tangan di kem sa­ma pada 16 Jun lalu telah dise­rahkan kepada pihak tentera.

Adzli berkata, pihaknya kekal mengklasifikasikan kes terbabit sebagai kematian mengejut (SDR) dan beliau dimaklumkan pihak tentera masih menjalankan siasatan ter­perinci. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN