KUSKOP sedia permudah permohonan pembiayaan usahawan layak termasuk artis

KUSKOP sedia permudah permohonan pembiayaan usahawan layak termasuk artis

STEVEN Sim Chee Keong (duduk, kanan) bersama Yogi B (kiri) ketika berkunjung ke studio rakaman penyanyi tersebut di Kuala Lumpur.-GAMBAR/FACEBOOK STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersedia mempermudahkan permohonan mana-mana usahawan yang layak untuk menerima pembiayaan termasuk artis atau penggiat seni jika ia dibuat menerusi saluran yang betul.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, dalam hal ini, penyanyi rap, Yogi B atau nama sebenarnya, V. Yogeswaran boleh dijadikan contoh kerana artis tersebut memohon sendiri untuk mendapatkan Skim Pembiayaan Usahawan India Malaysia (SPUMI) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional).

“Saya seronok apabila Yogi B sendiri ‘pi’ (pergi) mohon pembiayaan SPUMI dengan TEKUN (Nasional). Pegawai TEKUN yang proses dokumen dia pun terkejut, rupanya (pegawai itu) peminat dia.

“Yogi B mohon (SPUMI) pada 26 Jun, 1 Julai terus lulus. Cepat, telus, tak payah ‘kabel’ orang dalam, orang politik, tak perlu tandatangan ketua bahagian dan sebagainya.

“Inilah yang kita buat di KUSKOP. Usahawan tak kira siapa sama ada peniaga kecil, pengusaha makanan, koperasi, anak muda, wanita, anak seni, kalau layak, kita bantu. Tak perlu kenal orang politik. Tak perlu cari jalan ‘belakang’. Terus mohon, ikut proses, kita permudahkan.

“Saya selalu kata, artis pun usahawan. Pemuzik pun usahawan. Bila ‘depa’ (mereka) buat lagu, rakam album, ‘perform’ (buat persembahan), sewa studio, urus hak cipta, bawa karya ‘pi’ luar negara dan sebagainya, semua itu kerja bisnes,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.

Mengulas lanjut, Steven berkata, Yogi B yang juga bekas anggota kumpulan muzik hip hop terkenal, Poetic Ammo itu bukan sahaja aktif sebagai penyanyi, malah, turut mengusahakan studio rakaman dan syarikat rakaman selain sedang merancang untuk menghasilkan album baharu.

“Yogi B dah buktikan, karya anak Malaysia boleh ‘hidup’ lama jika ia dihasilkan dengan jiwa, disiplin dan identiti sendiri. Jadi, saya doakan projek baharu Yogi B berjalan lancar. Terus bawa suara Malaysia ‘pi’ (peringkat) dunia,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN