KPM mula reformasi sekolah minggu depan, 10 sekolah setiap daerah dipilih

KPM mula reformasi sekolah minggu depan, 10 sekolah setiap daerah dipilih

FADHLINA Sidek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan program reformasi sekolah bermula minggu depan dengan memilih 10 sekolah di setiap daerah sebagai projek rintis bagi mengangkat mutu pendidikan serta kemenjadian murid.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap daerah akan memilih lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah untuk dibangunkan sebagai sekolah terbaik di daerah masing-masing.

Menurut beliau, setiap sekolah yang terpilih berpeluang menerima peruntukan sehingga RM100,000 bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembaharuan mengikut keperluan dan perancangan masing-masing.

“Mulai minggu hadapan akan bermulanya satu lagi program penting berkaitan reformasi sekolah.

“Setiap daerah akan mengangkat 10 sekolah iaitu lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah yang harus menjadi sekolah terbaik di daerah masing-masing.

“Saya telah melalui beberapa sesi bersama sekolah-sekolah ini dan nampaknya masing-masing cukup bersemangat kerana tawaran kita adalah sehingga RM100,000 bagi setiap sekolah untuk melakukan pelbagai perubahan dan reformasi,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga KPM, di sini hari ini.

Fadhlina berkata, inisiatif itu bukan sekadar bertujuan meningkatkan pencapaian akademik, malah memperkukuh profesionalisme guru serta membentuk ekosistem sekolah yang lebih berkualiti.

Bagaimanapun, beliau menegaskan reformasi sekolah tidak boleh dilaksanakan melalui jalan pintas atau hanya tertumpu kepada penambahbaikan fizikal semata-mata.

“Tetapi reformasi ini tidak berjalan singkat. Saya juga memberi teguran kepada sekolah-sekolah bahawa bila kita hendak melaksanakan reformasi, kita tidak boleh ambil jalan singkat.

“Contohnya, memasang pendingin hawa di semua sekolah atau menyediakan papan pintar di setiap kelas, itu bukan reformasi.

“Reformasi yang kita hasratkan ialah perubahan budaya, perubahan ekosistem dan perubahan mentaliti yang perlu digarap oleh seluruh warga sekolah untuk mengangkat martabat sekolah menjadi yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata, reformasi itu turut merangkumi perubahan cara bekerja, kaedah pengajaran, penjagaan kesihatan mental, usaha menangani isu buli serta memastikan kesejahteraan seluruh warga sekolah terus diperkasakan.

Dalam pada itu, Fadhlina turut mengucapkan tahniah kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Harian atas pelancaran Garis Panduan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid.

Katanya, garis panduan yang komprehensif itu menjadi antara usaha penting bagi memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap keselamatan sekolah serta memastikan kebajikan murid terus diberi keutamaan.

“Melalui garis panduan ini, kita tidak mahu isu keselamatan di sekolah terus dipersoalkan sehingga menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi pendidikan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan KPM akan memperluaskan pelaksanaan beberapa program yang menyokong agenda reformasi pendidikan termasuk Program PAKAT bagi pendidikan prasekolah, Program TEKAD untuk menjayakan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia serta Program NEKAD yang memberi penekanan kepada pembentukan empati, keprihatinan dan nilai ihsan dalam kalangan murid.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN