KPKT sasar 1,000 Taman Awam Madani menjelang 2033

KPKT sasar 1,000 Taman Awam Madani menjelang 2033

NGA Kor Ming pada sidang akhbar Sambutan Hari Landskap Negara 2026 (HLN 2026) di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 Taman Awam Madani dibina dan dinaik taraf secara berperingkat di seluruh negara menjelang 2033.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, setiap kerja pembinaan atau pelaksanaan naik taraf taman awam Madani berkenaan dianggarkan menelan kos sekitar RM500,000, menjadikan keseluruhan peruntukan bagi merealisasikan sasaran itu membabitkan RM500 juta.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak 217 Taman Awam Madani telah berjaya disiapkan dalam tempoh dua tahun lalu, sekali gus melepasi sasaran 200 taman yang ditetapkan kementerian.

“Saya yakin menjelang akhir tahun ini, lebih 317 buah Taman Awam Madani akan siap sepenuhnya,” katanya menerusi sidang akhbar Sambutan Hari Landskap Negara 2026 (HLN 2026) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, pelaksanaan Taman Awam Madani itu merupakan antara dasar yang memberi impak tinggi kepada komuniti setempat, khususnya dalam menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.

Jelasnya, penyediaan lebih banyak ruang terbuka seperti taman awam penting bagi membantu menangani masalah obesiti dan diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia, selain menjadi kemudahan untuk masyarakat melakukan aktiviti fizikal.

“Ini adalah satu pelaburan strategik kerajaan Madani untuk mensejahterakan rakyat kerana kos membangunkan taman adalah kecil berbanding kos perubatan yang terpaksa kita tanggung,” katanya.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, KPKT melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) akan menganjurkan Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2026 bermula dari 6 Ogos hingga 9 Ogos ini di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka dengan kerjasama antara JLN dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Menurut beliau, sambutan HLN 2026 bertemakan ‘Landskap Lestari, Malaysia Madani’ yang menonjolkan landskap lestari sebagai asas penting dalam menjamin kesejahteraan dan kestabilan alam sekitar, melalui pendekatan holistik yang menggabungkan pemeliharaan ekosistem dengan pembangunan fizikal secara seimbang.

“Sambutan HLN pada tahun ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Ogos. Buat pertama kalinya, majlis perasmian HLN 2026 akan diadakan pada waktu malam bagi memberikan kelainan kepada pengunjung, disamping mewujudkan suasana yang lebih meriah, kondusif dan berimpak tinggi.

“Selain itu, perasmian pada waktu malam membolehkan elemen pencahayaan landskap, iluminasi pokok, taman dan struktur hiasan dipamerkan dengan lebih berkesan, sekali gus menyerlahkan keindahan reka bentuk landskap serta mewujudkan pengalaman yang lebih menarik kepada pengunjung. Ia juga memberi nilai tambah kepada program melalui persembahan multimedia, pencahayaan dekoratif dan aktiviti hiburan yang lebih berkesan dalam suasana malam,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM2.5 juta bagi penganjuran HLN 2026 selama empat hari dengan menyasarkan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung.

“Kita jangka tidak kurang daripada 20,000 orang akan hadir sepanjang HLN 2026, namun saya yakin akan lebih jauh lebih tinggi daripada 20,000 orang. Pelaburan kita sedikit sahaja, kosnya lebih kurang RM2.5 juta untuk empat hari. Kita percaya ini pelaburan kecil tetapi pulangannya tinggi dan berimpak tinggi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN