PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal melaksanakan beberapa projek tebat banjir termasuk pembinaan kolam takungan bawah tanah (On-Site Detention atau OSD) berteknologi Jerman di Medan Selera 223.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, kerja-kerja pembesaran longkang akan dimulakan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi sebaik sahaja proses pelantikan kontraktor dan rekaan teknikal selesai.
Katanya, projek pembinaan OSD bawah tanah jangka panjang pula dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan dan bakal siap sepenuhnya menjelang Februari tahun depan.
“Reka bentuk longkang sedia ada hanya mampu menampung kadar curahan hujan sehingga 20 milimeter (mm) berbanding kadar hujan semasa yang kerap melebihi 60 mm.
“Longkang di Medan Selera 223 dibina pada tahun 80-an dan hanya boleh menampung 20 mm hujan. Apabila hujan melebihi 60 mm, keadaannya seperti tiga hingga empat kali ganda kapasiti botol air.
“Apabila berlebihan, air akan melebar dan berlaku limpahan banjir,” katanya semasa Majlis Perasmian Kompleks Pembangunan Usahawan The Pod@PJ De’Cewawi di Kota Damansara hari ini.
Tambah Mohamad Zahri, perparitan air dari Medan Selera 223 bergantung kepada aliran menuju ke Sungai Penchala dan paras air sungai yang tinggi menyebabkan berlaku limpahan semula ke kawasan perparitan medan selera.
“Apabila hujan lebat dan paras air Sungai Penchala sudah naik, air dari medan selera tidak boleh masuk ke sungai dan berlaku ‘backflow’.
“Oleh itu, kita tahan dan simpan air hujan berkenaan secara sementara di kolam takungan bawah tanah OSD sebelum dialirkan semula untuk mengatasi masalah banjir,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai langkah keselamatan jangka pendek, MBPJ telah memasang sistem amaran awal berkuasa siren pada sistem perparitan utama Medan Selera 223 bagi membolehkan para peniaga membuat persiapan awal.
Jelasnya, sistem automatik yang dipasang dengan kos tinggi tersebut akan mengeluarkan bunyi siren amaran sebaik sahaja paras air di dalam longkang mencecah paras 50 peratus (separuh).
“Sistem amaran siren ini dipasang dengan kos yang agak tinggi. Apabila paras air di dalam longkang mencecah paras separuh, siren amaran akan berbunyi secara automatik bagi memberi peluang kepada peniaga mengalihkan barangan atau berpindah ke kawasan selamat,” katanya.
Mengulas lanjut pengecualian sewa sehingga akhir tahun, buat masa ini pihak majlis mengambil pendekatan untuk menangguhkan bayaran sewa secara berperingkat selama sebulan terlebih dahulu.
“Permintaan peniaga Medan Selera 223 untuk pengecualian sewa sehingga akhir tahun itu kita akan tengok pada keadaan.
“Kita simpati dengan apa yang berlaku tapi buat masa sekarang kita bagi sebulan dulu lepas itu kita tengok bagaimana keadaan ke hadapan,” katanya. – UTUSAN










