KUALA LUMPUR: Menara Pejabat KL Midtown Signature, satu daripada dua komponen pejabat dalam pembangunan bercampur KL Midtown di Kuala Lumpur, telah siap sepenuhnya dan kini sedia untuk diduduki.
KL Midtown dibangunkan oleh KL Midtown Sdn. Bhd., syarikat usaha sama antara anak syarikat Hap Seng Consolidated Bhd., Hap Seng Land Sdn. Bhd. dan anak syarikat Naza TTDI Sdn. Bhd., TTDI KL Metropolis Sdn. Bhd.
Menara itu direka oleh firma seni bina antarabangsa Skidmore, Owings & Merrill (SOM), bangunan pejabat Gred A itu turut memperoleh pensijilan sementara LEED Gold serta GreenRE Platinum, mencerminkan komitmennya terhadap piawaian kelestarian dan kecekapan tenaga.
Pengarah Pengurusan Hartanah, Hap Seng Land., Manfred Weber berkata, lokasi KL Midtown yang terletak berhampiran pusat bandar tetapi di luar kawasan paling sesak menjadi antara kelebihan utama pembangunan itu.
“Kami percaya antara faktor yang membezakan pembangunan ini ialah lokasinya. Ia tidak jauh dari pusat bandar, namun berada sedikit di luar kawasan tersebut, sekali gus memberikan kelebihan dari segi akses dan keselesaan,” katanya pada sidang media semalam.
Menurut beliau, konsep pembangunan bercampur yang menggabungkan komponen pejabat, hotel dan pusat beli-belah mewujudkan sinergi yang memberi nilai tambah kepada penyewa.
“Menara pejabat direka supaya penyewa boleh terus mengakses pusat beli-belah tanpa perlu keluar bangunan.
“Selain itu, Hotel Hyatt Regency turut dihubungkan terus dengan kompleks ini, menjadikan ia lebih mudah untuk urusan perniagaan dan kunjungan tetamu,” katanya.
Mengulas mengenai sambutan penyewaan, Webber berkata, proses pemasaran telah dimulakan sejak pembinaan bangunan dan kini memasuki fasa lebih aktif selepas projek siap sepenuhnya.
Katanya, ruang pejabat pertama akan diserahkan kepada penyewa bermula hari ini (semalam), manakala kerja pengubahsuaian dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan sebelum operasi dimulakan.
“Bagi tahun ini, kami menjangkakan dua lagi penyewa akan berpindah masuk, manakala momentum pengisian dijangka lebih ketara pada tahun hadapan,” katanya.
Menurutnya, penyewa boleh mengakses pusat beli-belah secara terus dari menara pejabat tanpa perlu keluar bangunan, selain menikmati kemudahan hotel Hyatt Regency Kuala Lumpur yang dihubungkan dengan pembangunan tersebut.
Katanya, projek itu juga bakal disokong oleh stesen MRT pada masa hadapan selain menyediakan lebih 3,200 petak parkir, sekali gus mengatasi antara cabaran utama bangunan pejabat di pusat bandar.
Menyentuh prospek pasaran pejabat, Webber berkata, permintaan terhadap ruang pejabat berkualiti masih kekal kukuh, meskipun pasaran menyaksikan pertambahan bekalan bangunan baharu.
Katanya, tiga bangunan pejabat milik Hap Seng Land di Kuala Lumpur kini merekodkan kadar penghunian masing-masing sekitar 100 peratus, 98 peratus dan 80 peratus.
“Kami melihat terdapat penghijrahan yang jelas daripada bangunan lama kepada bangunan baharu. Ini menjadikan bangunan lama lebih mencabar untuk menarik penyewa, namun permintaan keseluruhan terhadap ruang pejabat masih sihat,” katanya.
Menara pejabat itu merangkumi 19 tingkat dan meliputi jumlah kawasan bersih untuk disewa seluas 453,000 kaki persegi.
Menara KL Midtown menawarkan ketinggian siling 4.2 meter serta ruang lantai tanpa tiang seluas kira-kira 11,956 kaki persegi, memberikan fleksibiliti kepada penghuni untuk mewujudkan ruang kerja yang menikmati pemandangan tanpa halangan ke arah latar langit Kuala Lumpur serta Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).










