PETALING JAYA: Sebuah kilang perkakasan musnah 90 peratus dalam kebakaran di Jalan Hillview, Kampung Baru Sungai Buloh dekat sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.29 pagi sebelum 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh bersama bantuan BBP Bukit Jelutong digerakkan ke lokasi.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 4.38 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah kilang perkakasan.
“Api memusnahkan kira-kira 90 peratus struktur kilang berkenaan. Kebakaran berjaya dikawal pada 5.15 pagi dan kerja-kerja pemadaman masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kejadian tidak membabitkan sebarang mangsa dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. – UTUSAN










