Kerjasama strategik perkukuh operasi Monorel KL

Kerjasama strategik perkukuh operasi Monorel KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keupayaan operasi dan kebolehpercayaan sistem Monorel Kuala Lumpur bakal diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dengan Chongqing Rail Transit (CRT), China.

Kerjasama itu merangkumi perkongsian kepakaran teknikal, amalan penyelenggaraan, pendigitalan operasi, penggunaan analitik data serta pembangunan kompetensi tenaga kerja.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, perkongsian dengan CRT membolehkan syarikat itu memperoleh akses kepada amalan terbaik global dalam pengurusan sistem rel.

“Kerjasama ini membuka peluang kepada Prasarana untuk memperluas akses kepada amalan terbaik global dalam aspek kebolehpercayaan sistem rel, strategi penyelenggaraan serta kecekapan operasi.

“Perkongsian pengetahuan ini penting bagi memastikan perkhidmatan yang lebih selamat, lancar dan boleh dipercayai terus dinikmati pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak dimeterai di Menara Prasarana pada 9 Julai lalu sebagai rangka kerja untuk meneroka pelaksanaan inisiatif berkaitan pengoperasian sistem monorel.

“Antara aspek utama yang diberi perhatian ialah kebolehpercayaan sistem, pengurusan aset, penyelenggaraan ramalan, standard operasi dan keselamatan.

“Kerjasama itu turut melibatkan latihan bersama, lawatan teknikal dan pertukaran kepakaran bagi meningkatkan keupayaan kakitangan yang mengendalikan sistem berkenaan,” katanya.

MoU itu ditandatangani Amir bersama Pengerusi merangkap Pengurus Besar CRT, Hu Zhiyong dan disaksikan Ketua Pegawai Kumpulan Modal Insan Prasarana, Dr. Harigaran Bharatham serta Naib Pengurus Besar CRT, Zhang Jun.

“Delegasi CRT turut mengadakan lawatan teknikal ke Depoh Monorel untuk meninjau operasi harian dan amalan penyelenggaraan sistem yang dikendalikan Prasarana.

“MoU tersebut tidak melibatkan sebarang komitmen kewangan pada peringkat ini, namun kedua-dua pihak akan mewujudkan mekanisme komunikasi bersama bagi menyelaras dan memantau perkembangan kerjasama secara berkala,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN