Kerajaan sedang memuktamad pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 

Kerajaan sedang memuktamad pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memuktamadkan cadangan pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Ia berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) akta itu sebagai tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan pindaan itu mengambil kira keputusan Mahkamah Persekutuan, pandangan Jabatan Peguam Negara, agensi penguatkuasaan serta maklum balas pihak-pihak berkepentingan.

Pada masa ini, katanya, kementerian dalam proses mendapatkan pertimbangan dan kelulusan kerajaan terhadap cadangan pindaan tersebut. 

“Tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan, kerajaan menyasarkan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 dibentangkan di Parlimen pada sesi yang bersesuaian,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan P. Prabakaran (PH-Batu) mengenai langkah kerajaan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) tidak berperlembagaan.

Pada Julai 2025, Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan, peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA), yang mengenakan denda terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan kepada polis, adalah tidak berperlembagaan. 

Beliau berkata, Mahkamah Persekutuan mendapati Subseksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak digubal secara sah di bawah Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh disifatkan sebagai sekatan yang sah terhadap hak kebebasan berhimpun yang dijamin kepada semua warganegara.-UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN