PORT DICKSON: Perdana Menteri berkata kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan tiket MADANI bagi perlumbaan Fromula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air 2026 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC), Oktober depan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan itu dibuat selepas menerima maklum balas orang ramai yang menganggap harga tiket perlumbaan bertaraf antarabangsa itu agak tinggi.
“Ramai yang dah beli tiket. Memang ada yang merungut sebab harga tiket mengikut kadar antarabangsa.
“Ada juga yang tanya, PMX ada tak tiket MADANI? Mereka kata tiket paling murah pun sekitar RM200. Jadi mereka minta kalau boleh ada harga tiket MADANI.
“Insya-Allah kita pertimbangkan. Cuma tempat duduknya mungkin agak jauh sedikit. Jangan bayar harga tiket MADANI tetapi hendak duduk di barisan hadapan,” katanya.
Anwar berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Mesra bersama Pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Negeri Sembilan, di sini, pada Isnin.
Pada Ahad Malaysia diumumkan akan menjadi tuan rumah bagi perlumbaan F1 GP Bahrain Gulf Air 2026 di Sepang pada Oktober ini.
Ia selepas GP Bahrain yang sepatutnya berlangsung pada April lalu, ditangguhkan pada Mac bersama GP Arab Saudi susulan tercetusnya konflik di Asia Barat.
Bahrain berharap dapat menjadualkan semula perlumbaan itu pada 4 Oktober, namun peningkatan konflik pada bulan ini menyebabkan rancangan itu tidak dapat diteruskan. – UTUSAN










