Keputusan batal lesen, henti aktiviti Network School ikut undang-undang - MB Johor

Keputusan batal lesen, henti aktiviti Network School ikut undang-undang – MB Johor

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan serta mengarahkan semua aktiviti NS0 Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) di Forest City dihentikan berdasarkan proses dan peruntukan undang-undang.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, arahan yang berkuat kuasa serta merta, esok adalah selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan oleh pihak syarikat.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil selepas aduan serta maklumat disahkan, pemeriksaan dijalankan, ketidakpatuhan dikenal pasti dan proses undang-undang disempurnakan.

“Tempoh sesuatu premis beroperasi tidak bermakna semua aktivitinya sentiasa mematuhi syarat lesen. Apabila ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan mesti diambil tanpa kompromi.

“Kerajaan Negeri akan terus memperketatkan penyelarasan antara agensi agar sebarang ketidakpatuhan dapat dikesan dan ditangani segera,” katanya dalam kenyataan.

Onn Hafiz menegaskan bahawa Johor sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi yang memberi manfaat kepada ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu pembangunan negeri.

Namun begitu, jelasnya, tiada mana-mana pelabur, syarikat atau organisasi boleh diletakkan mengatasi kedaulatan undang-undang negara.

“Dalam ruang lingkup bidang kuasa yang diperuntukkan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau perkara yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya..

Katanya, kerajaan negeri menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan siasatan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan atau apa-apa kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

Katanya, perkara ini tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila Johor merupakan pintu masuk strategik negara yang bersempadan dengan Singapura.

“Sebarang kelemahan atau penyalahgunaan sistem imigresen mesti ditangani segera, tegas dan tanpa kompromi.

“Kementerian Digital dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) turut digesa mengambil tindakan sewajarnya terhadap status Malaysia Digital atau sebarang pengiktirafan yang telah diberikan kepada organisasi berkenaan sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap syarat atau prinsip yang ditetapkan,” katanya.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri turut menggesa semua agensi berkaitan memperketat proses due diligence, termasuk semakan latar belakang, pemilikan, sumber pembiayaan, bentuk operasi serta naratif yang dibawa oleh mana-mana syarikat atau organisasi.

Katanya, penyelarasan antara agensi juga perlu diperkukuh agar setiap pelaburan atau inisiatif antarabangsa diteliti secara menyeluruh dari aspek pelesenan, imigresen, keselamatan, penggunaan premis dan pematuhan undang-undang.

“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan Johor kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini, tanpa berkompromi terhadap keselamatan, kedaulatan dan undang-undang negara,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN