Ambil tindakan sekiranya wujud pelanggaran undang-undang, kontrak - Forest City

Ambil tindakan sekiranya wujud pelanggaran undang-undang, kontrak – Forest City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI : Forest City tidak akan bertoleransi dengan sebarang pelanggaran undang-undang, syarat pelesenan, peraturan imigresen atau penyalahgunaan premis oleh mana-mana pihak di kawasan tersebut.

Country Garden Pacificview Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan berkata, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya pihak berkuasa mendapati wujud sebarang pelanggaran undang-undang, pelesenan, imigresen, penggunaan tanah atau kontrak.

Menurut kenyataan itu, syarikat terbabit akan menggunakan segala hak yang terdapat dalam undang-undang serta hak kontraktual yang diperuntukkan.

“Forest City menyambut baik tindakan pantas dan tegas kerajaan dalam menjalankan siasatan berhubung isu melibatkan Network School serta menghargai profesionalisme yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa berkaitan sepanjang proses tersebut.

“Syarikat itu memaklumkan bahawa pihaknya telah memberikan kerjasama sepenuhnya sejak awal siasatan dan menyambut baik hasil siasatan yang diumumkan setakat ini.

“Forest City turut mengambil maklum kenyataan Menteri Digital, Gobind Singh Deo bahawa sebarang dakwaan berkaitan pelanggaran undang-undang atau syarat pelesenan hendaklah disiasat secara menyeluruh, dengan tindakan sewajarnya diambil sekiranya wujud sebarang pelanggaran,” katanya.

Minggu lalu, media melaporkan kerajaan negeri Johor menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan supaya menjalankan siasatan berhubung operasi Network School di Forest City yang didakwa disertai warga Israel.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, warga berkenaan dipercayai menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia bagi menyertai program tersebut sekali gus menimbulkan kebimbangan rakyat.

Sebelum ini, tular beberapa hantaran termasuk video di Threads yang mempersoalkan tujuan sebenar Network School beroperasi di Forest City, yang didakwa disertai warga asing termasuk Israel.

Menurut kenyataan itu lagi, Forest City sentiasa beroperasi selaras dengan undang-undang, dasar kerajaan serta segala keperluan kawal selia yang berkuat kuasa.

Jelasnya, tiada mana-mana penyewa, pengendali atau organisasi yang mengatasi undang-undang.

Katanya, sebarang isu berkaitan pelesenan, imigresen atau pematuhan peraturan hendaklah ditentukan oleh pihak berkuasa melalui proses perundangan yang sewajarnya.

“Sebagai pemaju induk, Forest City menyokong aspirasi kerajaan negeri dalam membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (SFZ) sebagai hab pelaburan bernilai tinggi, inovasi digital serta industri berteknologi tinggi yang berdaya saing di peringkat global.

“Network School merupakan antara organisasi yang tertarik kepada ekosistem pelaburan tersebut,” katanya.

Katanya, Forest City tidak mempunyai kuasa untuk memberikan pengecualian kawal selia mahupun mengambil alih fungsi pihak berkuasa atau agensi penguat kuasa.

Syarikat itu yakin hasil siasatan berkenaan akan terus memperkukuh keyakinan masyarakat dan pelabur terhadap ekosistem Zon Kewangan Khas Forest City.

“Bersama kerajaan dan rakan-rakan industri, kami komited untuk terus menarik lebih banyak syarikat teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) bertaraf dunia, memacu inovasi serta menyumbang ke arah masa depan Johor dan Malaysia yang lebih maju, mampan dan berdaya saing,” ujarnya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN