SEREMBAN: Beberapa pemimpin utama Barisan Nasional (BN) hadir ke Majlis Perjumpaan Calon yang bakal bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini pagi tadi.
Ia susulan parti itu akan mengumumkan calon pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN PRN-16 Negeri Sembilan yang akan berlangsung di Parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Pengumuman tersebut akan dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di bangunan tersebut kira-kira pukul 9.40 pagi tadi sebelum disusuli Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Majlis perjumpaan yang diadakan secara terturup itu turut dihadiri oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang ditemui pemberita masih enggan mendedahkan berkenaan senarai calon yang akan dipertaruhkan BN kali ini.
“Sabar, tunggu malam ini kami akan umumkan,”katanya.










