Kastam tumpaskan sindiket edar dadah antarabangsa, libatkan rampasan RM300 juta - Utusan Malaysia

Kastam tumpaskan sindiket edar dadah antarabangsa, libatkan rampasan RM300 juta

AMRAN Ahmad (tengah) menunjukkan bungkusan dadah yang dibungkus dalam plastik makanan untuk diseludup ke pasaran antarabangsa semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Cawangan Narkotik JKDM, Kampung Jijan Nilai, Seremban hari ini.- UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah seberat 4.83 tan bernilai RM300.72 juta.

Kejayaan itu menerusi lima kes berasingan sepanjang bulan April hingga Jun lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad berkata, kesemua kes melibatkan sindiket berbeza yang menggunakan pelbagai taktik untuk mengaburi pihak berkuasa.

Ia termasuk membuat pengisytiharan palsu terhadap dagangan dan menyembunyikan dadah dalam bungkusan barangan seperti makanan campuran, sabun, gel rambut serta span.

Menurutnya, rampasan terbesar membabitkan heroin bernilai RM169.83 juta di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 15 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena 40 kaki menemukan 18,870 kotak minuman jus yang mengandungi cecair disyaki heroin dengan kuantiti dianggarkan 3,396.6 liter.

“Dagangan itu dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Barat secara transit sebelum dihantar ke Australia sebagai destinasi akhir dan kes masih dalam siasatan,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan Nilai hari ini.

Amran berkata, pada 18 Mei lalu, JKDM turut merampas cannabis bud seberat 161.39 kilogram (kg) yang bernilai RM12.91 juta di sebuah syarikat logistik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Kargo, Sepang, Selangor.

Katanya, dadah tersebut ditemukan dalam 11 daripada 41 kotak dagangan yang diisytiharkan sebagai makanan kering untuk dihantar ke Eropah manakala dua ejen perkapalan warga tempatan berusia lingkungan 20-an dan 30-an direman bagi membantu siasatan.

Menurutnya, JKDM turut merampas 220.30 kg pil disyaki MDMA bernilai RM33.045 juta dalam serbuan di sebuah gudang di Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 12 Mei lalu.

Katanya, pil berkenaan disembunyikan dalam kotak berlabel alat ganti mesin (Spare Parts for Machine) dengan pengisytiharan palsu dan kes masih dalam siasatan.

Selain itu, beliau berkata, cannabis bud seberat 1,049.50 bernilai RM83.96 juta pula dirampas di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 9 April lalu.

Katanya, dadah itu dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara Asia Tenggara sebelum cuba dieksport semula ke Eropah yang disembunyikan dalam kotak berlabel papan lantai vinil tetapi diisytiharkan sebagai jubin lantai vinil.

Katanya, kes-kes ini merupakan sindiket dan modus operandi berbeza namun membuat pengisytiharan palsu terhadap kesemua barangan dagangan bagi mengaburi pihak berkuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN