PETALING JAYA: Penyanyi Amsyar Lee menyeru agar anak-anak supaya sentiasa menghormati dan menghargai wanita bergelar ibu tidak kira sama ada mereka status ibu tiri mahupun ibu angkat.
Amsyar atau Muhammad Amir Syafiq bin Mohd Sadri, 27, berkata, sebagai seorang anak lelaki sulung, dia sendiri sentiasa berusaha melakukan pelbagai cara demi menggembirakan hati ibunya mengikut kemampuan yang ada.
Menurutnya, usaha membahagiakan orang tua tidak sepatutnya disekat oleh faktor kewangan kerana banyak perkara lain yang boleh dilakukan untuk membuatkan mereka tersenyum.
“Kalau awak rasa mak awak tak cantik, cantikkan dia. Saya sebagai anak lelaki sulung boleh sahaja belikan baju yang cantik-cantik ikut kemampuan saya.
“Kalau saya tak cukup duit, saya akan cuba untuk buat benda lain yang boleh menggembirakan emak saya. Ingat, emak yang sudah menjaga kita dari kecil,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Dalam pada itu, Amsyar meminta agar tidak culas dalam memberikan kasih sayang serta menjaga wanita yang telah membesarkan kita itu.
“Tak kiralah sama ada emak tiri ke atau emak angkat ke, perkara itu tidak ada beza. Selagi dia ajar awak dengan kasih sayang dan jaga dari kecil, tolonglah hormati mereka yang bergelar ibu,” katanya.
Untuk rekod, Amsyar Lee merupakan penyanyi yang mula dikenali ramai menerusi kebolehannya meniru pelbagai suara biduanita negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza.










