PASIR SALAK: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming perlu meletak jawatan susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, seperti yang beliau katakan sebelum ini.
Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, jika sudah berjanji, perkara itu perlu ditunaikan.
“Itu (letak jawatan) kena tanya dia tapi kalau sudah berjanji, kena tunaikan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada pelancaran baju Mat Motor Sungai Manik Team Haji Nazari Sabran di Dataran Chenderong Balai di sini hari ini.
Turut hadir Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Nazari Sabran.
Baru-baru ini, Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP dilapor berkata akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan jika BN menang dalam PRN Johor dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.
PRN Johor semalam menyaksikan BN menang 48 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengenai kemenangan besar BN itu, Khairy melihat kemenangan itu satu amanah besar buat BN negeri Johor.
“Terima kasih kepada pengundi Johor. Saya melihat kemenangan ini satu amanah besar yang perlu dipikul Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz dan rakan-rakannya di BN Johor.
“Kita jangan besar kepala. Kita berterima kasih kepada pengundi, kepada rakyat dan kita bekerja kuat. Saya berharap gelombang biru ini akan kita bawa ke (PRN) Negeri Sembilan selepas ini,” katanya. – UTUSAN










