Juasseh jadi pekan Kuala Pilah 2

Juasseh jadi pekan Kuala Pilah 2

MOHD Aidil Abdullah menyantuni pengundi DUN Juasseh di sebuah kedai makan di Beting, Kuala Pilah, semalam. – UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pembangunan di Juasseh perlu dirancakkan meliputi pelbagai aspek khususnya kawasan komersial dan penempatan baharu.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Mohd. Aidil Abdullah berkata, aspek itu perlu dilakukan bagi merancakkan ekonomi setempat.

Katanya, perkara itu selari dengan hasratnya untuk menjadikan Juasseh sebagai pekan Kuala Pilah yang kedua jika diberi mandat sebagai wakil rak­yat di situ.

Menurutnya, Juasseh mempunyai potensi dibangunkan berikutan terdapat kawasan yang bukan berstatus tanah adat dan sesuai dimajukan sebagai kawasan pertumbuhan baharu.

“Di Juasseh terdapat kawasan yang bukan tanah adat dan sesuai untuk dibangunkan. Kita mahu jadikan kawasan ini sebagai pusat pertumbuhan baharu dengan menambah penempatan penduduk serta lot-lot komersial.

“Difahamkan ada pelabur yang berminat membina hospital swasta di Juasseh sebagai alternatif kepada kemudahan kesihatan sedia ada di Kuala Pilah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas me­nyantuni pengundi di Beting, di sini semalam.

Bekas Ketua Cabang PKR Kuala Pilah itu berkata, konsep agropolis yang dirancang di Juasseh mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat menerusi pengusahaan tanah terbiar, selain membantu memperkukuh keterjaminan makanan.

Katanya, usaha itu akan dilaksanakan bersama kerajaan negeri sekiranya Pakatan Harapan diberi mandat menerusi pelaksanaan manifesto yang menumpukan aspek keterjaminan makanan.

“Sekiranya diberi mandat, kita akan melihat potensi kawasan ini bersama kerajaan PH melalui pelaksanaan manifesto bagi memperkukuh keterjaminan makanan.

“Antaranya dengan memanfaatkan tanah-tanah yang sebelum ini terbiar untuk diusahakan supaya memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.

Selain itu, Mohd Aidil berkata isu capaian internet dan gangguan bekalan air turut menjadi antara perkara yang akan diberi perhatian.

Beliau berkata, pembangunan kemudahan untuk golo­ngan muda termasuk penyedia­an aktiviti rekreasi dan sukan yang berkait dengan aspek pendidikan juga perlu diperkasakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN