JKR lancar tiga inisiatif perkukuh agenda pembangunan mampan

JKR lancar tiga inisiatif perkukuh agenda pembangunan mampan

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (KKR) melancarkan tiga inisiatif strategik bagi memperkukuh agenda pembangunan mampan dan transformasi digital negara.

Tiga inisiatif itu ialah Polisi Pembangunan Lestari JKR, Standard JKR/SIRIM 2:2025 Penarafan Hijau (pH) JKR Bangunan dan Sistem e-pH JKR yang dijangka memperkukuh tadbir urus pembangunan mampan, menyeragamkan pelaksanaan penarafan hijau serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan menerusi pendigitalan.

Pelancaran itu sempena Program pH JKR Day 2026 bertemakan ‘Standard Diperkukuh, Kelestarian Diperkasa’.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembangunan negara pada masa kini perlu berpaksikan prinsip kelestarian memandangkan dunia sedang berdepan cabaran perubahan iklim, peningkatan suhu global, bencana berkaitan cuaca serta tekanan terhadap sumber asli.

Menurut beliau, kelestarian bukan lagi sekadar nilai tambah dalam sesuatu projek, sebaliknya perlu menjadi asas kepada setiap perancangan, reka bentuk, pembinaan, penyelenggaraan dan pengoperasian aset kerajaan.

“Kelestarian bukan lagi satu pilihan dan bukan juga sekadar pelengkap kepada pembangunan.

“Ia merupakan satu tanggungjawab yang perlu menjadi prinsip asas dalam setiap perancangan, reka bentuk, pembinaan, penyelenggaraan serta pengoperasian aset kerajaan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata, sebagai agensi teknikal utama negara, JKR bukan sahaja bertanggungjawab membina jalan raya, jambatan, bangunan kerajaan dan pelbagai kemudahan awam, malah memastikan setiap aset yang dibangunkan memenuhi standard tertinggi dari aspek keselamatan, kualiti, kecekapan, daya tahan serta kelestarian.

Katanya, kerajaan mahu melahirkan pembangunan yang bukan sahaja siap mengikut jadual, malah mampu menjadi legasi kepada generasi akan datang.

“Kita tidak mahu sekadar membina projek yang siap mengikut jadual, tetapi kita mahu membina legasi yang mampu bertahan merentasi generasi,” katanya.

Alexander berkata, pelaksanaan standard yang lebih kukuh akan meningkatkan kualiti projek sekali gus mempertingkat keyakinan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Beliau berharap lebih banyak projek kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sektor swasta akan mengguna pakai standard penarafan hijau JKR pada masa hadapan bagi memastikan pembangunan negara memenuhi piawaian antarabangsa.

“Saya berharap lebih banyak lagi projek yang mematuhi standard yang telah kita tetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN