Jangan kaitkan istana Negeri Sembilan dengan politik

Jangan kaitkan Istana Negeri Sembilan dengan politik

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Istana Negeri Sembilan menasihatkan parti-parti politik supaya tidak mengaitkan institusi berkenaan dalam ceramah dan kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, Institusi Diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terlibat dengan mana-mana parti atau kegiatan politik.

“Institusi Raja merupakan payung perpaduan rakyat yang berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara.

“Sehubungan itu, Institusi Diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

“Sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan yang mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atau mana-mana Ahli Kerabat Diraja dengan mana-mana parti politik adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata kenyataan itu lagi, Istana Negeri Sembilan turut menasihatkan semua calon parti politik yang bertanding dalam PRN ke-16 supaya mengelakkan daripada memainkan isu berkaitan 3R (kaum, agama dan institusi Diraja).

“Semua pihak perlu sentiasa berkempen secara berhemah, beretika dan mematuhi undang-undang demi memelihara keharmonian negeri.

“Istana Negeri Sembilan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan Institusi Diraja terus dihormati dan dipelihara daripada sebarang salah tafsir atau eksploitasi bagi kepentingan mana-mana pihak,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan serta sentiasa merujuk kepada saluran rasmi Istana Negeri Sembilan bagi mendapatkan maklumat yang sahih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN