KUALA NERUS: Cadangan pembinaan insinerator berkapasiti sehingga 20 tan metrik sehari menjadi jalan penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu lambakan sampah di Pulau Redang, dekat sini yang mampu mencecah 13 tan metrik sehari pada musim kemuncak pelancongan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd. Shafizi Ismail berkata, kemudahan itu bukan sahaja mampu menampung peningkatan jumlah sisa pepejal, malah penting bagi memastikan imej Pulau Redang sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa terus terpelihara.
Katanya, insinerator baharu yang dicadangkan mempunyai kapasiti sehingga 20 tan metrik sehari, jauh lebih tinggi berbanding insinerator sedia ada yang hanya mampu melupuskan kira-kira empat tan metrik sampah sehari.
“Insinerator sedia ada yang digunakan sejak dua tahun lalu masih boleh dimanfaatkan sebagai sistem sokongan sekiranya diperlukan, namun pembinaan kemudahan baharu amat penting bagi memenuhi keperluan semasa dan masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, pada musim kemuncak pelancongan, jumlah pengunjung ke Pulau Redang boleh meningkat sehingga dua kali ganda, sekali gus menyebabkan penghasilan sisa pepejal mencecah sekitar 13 tan metrik sehari.
Katanya, berdasarkan taklimat yang diterima, punca utama lambakan sampah adalah kegagalan kontraktor mematuhi jadual kutipan yang ditetapkan, selain kutipan yang sebelum ini dibuat secara selang sehari serta ketiadaan rumah sampah yang menyebabkan sisa mudah bertaburan.
“Dalam era media sosial hari ini, satu isu yang tular mampu memberi kesan besar terhadap persepsi orang ramai.
“Sebab itu kebersihan Pulau Redang bukan sekadar soal pengurusan sampah tetapi melibatkan imej negeri, kesejahteraan penduduk dan kelangsungan ekonomi pelancongan,” katanya.
Mohd. Shafizi berkata, aduan yang paling kerap diterima daripada penduduk adalah kelewatan kutipan sampah sehingga menyebabkan berlaku lambakan di beberapa lokasi, terutama ketika musim kemuncak pelancongan.
Menurutnya, pengusaha chalet, resort, restoran dan pemain industri pelancongan turut menyuarakan kebimbangan kerana kebersihan pulau menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi pengalaman serta kepuasan pelancong.
“Mereka mencadangkan supaya kemudahan seperti tong sampah, rumah sampah dan logistik kutipan terus dipertingkatkan bagi menampung peningkatan jumlah pelawat, khususnya ketika musim cuti,” katanya. – UTUSAN










