SEREMBAN: Manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk membina sebuah hospital baharu di Bandar Enstek, Nilai disambut baik ramai kerana merupakan langkah tepat mengatasi kesesakan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Jalan Rasah di sini.
Pembinaan hospital baharu itu diharap dapat dipercepatkan sebagai alternatif kepada hospital kerajaan sedia ada bagi menampung keperluan penduduk Seremban yang melebihi 700,000 orang termasuk kawasan sekitar.
Pembinaan hospital baharu itu diumumkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun semasa peluncuran manifesto bertemakan ‘Lapan Tahun Membina, Lima Tahun Kemajuan – Ke Arah Negeri Sembilan Maju 2045, dengan menggariskan 10 komitmen utama.
Pekerja swasta, Siti Nurhamizah Redzwan, 33, berkata, ia merupakan satu inisiatif yang terbaik kerana penduduk di bandar ini sudah lama bergantung kepada HTJ.
“Kalau Hospital baharu akan dibina di Nilai memang akan memudahkan penduduk. Bayangkan semua kawasan perumahan berdekatan Seremban perlu merujuk ke HTJ. Memang hospital itu sentiasa dipenuhi pesakit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pesara tentera, Norhayati Johari, 55, turut menyambut baik komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu perkhidmatan kesihatan dan menyediakan akses rawatan lebih berkualiti kepada rakyat.
“HTJ memang sesak sebab perumahan makin banyak dan penduduk makin padat tetapi hospital kerajaan hanya ada satu di Seremban.
Saya juga pernah berurusan di HTJ, jadi berasa sangat lega kalua hospital baharu dapat ditambah,” katanya.
Bagi pekerja swasta, Khairul Fitri, 34, agenda kerajaan untuk memberi keselesaaan kepada rakyat disambut baik namun perlu selari dengan penambahan bilangan doktor dan jururawat.
“Jika hospital baharu ditubuhkan tetapi bilangan doktor masih kurang, ia belum dapat mengatasi masalah di fasiliti kesihatan secara total. Jadi, saya harap pihak kerajaan dan kementerian berkaitan dapat meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Sebagai penduduk Lenggeng, Muhammad Noor Firdaus Saberi berkata, Hospital baharu di Nilai dapat membantu mengagihkan jumlah pesakit dengan lebih seimbang serta mengurangkan tekanan terhadap HTJ.
Katanya, perkembangan pesat di Bandar Baru Nilai, Bandar Baru Enstek, Labu, Mantin dan kawasan sekitarnya memerlukan penyediaan infrastruktur kesihatan seiring pertumbuhan penduduk.
Dari aspek perkhidmatan kesihatan, kewujudan hospital baharu ini akan meningkatkan akses masyarakat kepada rawatan yang lebih mudah dan berdekatan.
“Kemudahan ini amat penting khususnya kepada warga emas, ibu mengandung, kanak-kanak serta pesakit yang memerlukan rawatan susulan secara berkala.
“Dengan jarak perjalanan yang lebih dekat, pesakit dapat memperoleh rawatan, pemeriksaan pakar dan kemasukan wad dengan lebih cekap, sekali gus mengurangkan beban masa serta kos perjalanan yang ditanggung oleh pesakit dan keluarga.
“Sebagai contoh, pesakit tidak lagi perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan bekalan ubat di kaunter farmasi, berbanding keadaan semasa di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban yang kadangkala memerlukan pesakit menunggu sehingga 100 nombor giliran sebelum menerima ubat,” katanya.










