KUALA LUMPUR: Pelakon, Harissa Adlynn mendedahkan pernah dipikat seorang pelakon lelaki yang ketika itu sudah mempunyai kekasih ketika mereka menjalani penggambaran sebuah drama beberapa tahun lalu.
Menurut Harissa atau Harissa Adlynn Abdul Halim, situasi sedemikian bukanlah sesuatu yang asing dalam industri, namun dia memilih untuk sentiasa menjaga batasan bagi mengelakkan dirinya terheret dalam sebarang kontroversi yang tidak perlu.
“Perkara ini sudah menjadi normal walaupun tak sepatutnya begitu. Bukan Malaysia sahaja, luar negara pun berlaku.
“Saya ada tanggungjawab untuk hentikan perkara itu daripada berlaku kerana mungkin ada segelintir pelakon yang tidak meletakkan batasan. Sebab itu apabila berada di set penggambaran, saya lebih banyak buat hal sendiri atau duduk bersama pengurus.
“Antara rakan pelakon yang paling profesional pernah saya bekerjasama ialah Keith Foo. Memang ada keserasian ketika bekerja, tetapi apabila pengarah kata ‘cut’, kami akan duduk berasingan, tidak makan bersama dan jarang berbual.
“Itulah yang membuatkan kami saling menghormati dan saya juga berharap dapat bekerjasama dengannya lagi jika diberi peluang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi penggambaran drama Keluang Man, semalam.
Mengulas lanjut, Harissa berkata, dia tidak pernah melayan cubaan pelakon terbabit melebihi hubungan sebagai rakan sekerja kerana tidak mahu memberi harapan atau isyarat yang salah.
“Respons saya kepada pelakon itu hanya ramah seperti biasa, tetapi tidak sampai membuatkan dia fikir saya menyukainya.
“Saya juga memang tidak mempunyai perasaan terhadapnya.
“Perkara seperti ini boleh menjejaskan kerjaya dan nama baik saya. Saya sudah bekerja keras untuk membina reputasi serta menjaga nama baik keluarga. Kalau ada yang cuba merosakkannya, sudah tentu saya akan marah,” katanya.
Dalam pada itu, Harissa turut mengulas mengenai cinta lokasi yang sering berlaku dalam kalangan pelakon.
Menurutnya, perasaan suka mungkin timbul apabila seseorang kerap bertemu rakan gandingan di lokasi penggambaran, namun urusan peribadi tidak seharusnya dibawa ke tempat kerja.
“Kita kadang-kadang berjumpa orang yang sama setiap hari, jadi mungkin ada perasaan yang timbul bagi sesetengah pelakon.
“Kita tidak boleh marah seseorang kerana mempunyai perasaan seperti itu. Tetapi jika mereka melakukan sesuatu yang membuatkan saya tidak selesa,
menjadi tanggungjawab saya untuk menghentikannya sebelum keadaan menjadi lebih jauh,” katanya.
Terdahulu, timbul khabar angin mendakwa seorang pelakon lelaki yang sudah mempunyai kekasih cuba menggatal dengan Harissa ketika mereka sama-sama membintangi sebuah drama. -UTUSAN










