Gubal akta baharu untuk perkasakan sektor koperasi

Gubal akta baharu untuk perkasakan sektor koperasi

STEVEN Sim Chee Keong (depan, tengah) ketika menghadiri sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Penggubalan akta koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 merupakan antara langkah yang sedang diambil oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk terus memperkasa sektor itu agar ia mampu berkembang seiring dengan keperluan ekonomi semasa.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, dengan adanya akta baharu itu nanti, urusan pentadbiran dalam koperasi juga boleh direformasikan termasuk bagi memudah cara segala urusan berkaitan perniagaan dan pelaburan.

“Ya, kita dalam proses untuk merangka serta menggubal akta koperasi yang baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 yang lama dan antara tujuan penggubalan akta ini, secara substantifnya ialah untuk mereformasi serta memperbaharui pentadbiran koperasi-koperasi di Malaysia,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) serta Majlis Peluncuran Profil 100 Koperasi Terbaik 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena di sini, hari ini.

Sementara itu, Steven berkata, bermula September depan, fi dan caj sebanyak 2.5 peratus yang dikenakan ke atas nilai Marhun bagi perkhidmatan Ar-Rahnu koperasi atau perkhidmatan pajak gadai Islam akan dimansuh bagi mengurangkan kos kepada pelanggan.

Katanya, pemansuhan itu dibuat susulan prestasi memberangsangkan yang mana perolehan sektor Ar-Rahnu koperasi melonjak hampir 1,000 peratus atau 993 peratus, daripada RM1.6 bilion pada 2024 kepada RM17 bilion pada 2025.

Beliau berkata, di bawah reformasi kedua pula, koperasi yang menjalankan perkhidmatan Ar-Rahnu boleh melaksanakan lelongan barangan pajakan secara tender sebagai alternatif kepada kaedah lelongan sedia ada, iaitu melalui lelongan awam dan e-lelong.

“Langkah yang turut berkuat kuasa mulai September 2026 ini dijangka meningkatkan ketelusan, mengurangkan kos pelaksanaan serta mewujudkan proses yang lebih fleksibel dan berdaya saing,” kata Steven.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN