PETALING JAYA: Gelombang politik Melayu-Islam dan keberkesanan perpindahan undi antara penyokong Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) dijangka menjadi faktor utama yang memberi kelebihan kepada kedua-dua gabungan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut Ilham Centre, kajian lapangannya mendapati sentimen mempertahankan kuasa politik Melayu-Islam menjadi antara justifikasi utama penyokong kedua-dua parti dalam menerima kerjasama BN-PN.
Katanya, perpindahan undi penyokong PN kepada calon BN dianggarkan sekitar 92 peratus, manakala kira-kira 75 peratus penyokong BN dijangka memberikan undi kepada calon PN.
Pada masa sama, kajian itu menganggarkan Pakatan Harapan (PH) hanya memperoleh sekitar 18 peratus sokongan pengundi Melayu yang bakal mewujudkan jurang ketara berbanding BN-PN.
“Secara keseluruhannya, tahap konsolidasi undi Melayu yang berjaya dibentuk adalah cukup besar untuk menghasilkan kelebihan kompetitif kepada gabungan BN-PN.
“Formula satu lawan satu dalam kalangan pengundi Melayu akhirnya mengurangkan kebocoran undi yang sebelum ini sering berlaku apabila kedua-dua parti bertembung sesama sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ilham Centre berkata, PH pula gagal membentuk naratif balas yang mampu menyaingi politik identiti apabila kempen berasaskan pencapaian kerajaan negeri, tadbir urus dan rekod pentadbiran tidak mempunyai kekuatan emosi yang sama.
Kajian itu turut mendapati, sokongan pengundi Cina terhadap PH tidak lagi bersifat automatik dan terdapat kecenderungan dalam kalangan pengundi India untuk menjauhkan diri daripada gabungan tersebut.
“Dalam kalangan pengundi muda pula, pilihan semakin dipengaruhi oleh jenama parti dan naratif politik di media sosial berbanding personaliti serta rekod calon, dengan hampir separuh atau 48 peratus pemilih di Negeri Sembilan terdiri daripada golongan muda.
“Berdasarkan keseluruhan dapatan itu, Ilham Centre mengunjurkan BN dan PN secara gabungan berpotensi menguasai 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH dijangka memperoleh sekurang-kurangnya sembilan kerusi,” katanya.
Bagaimanapun, Ilham Centre berkata, lima kerusi iaitu Chennah, Linggi, Nilai, Repah dan Temiang disifatkan sukar diramal dan sekiranya BN berjaya menawan beberapa kerusi berkenaan, gabungan BN-PN berpotensi memperoleh majoriti dua pertiga di DUN Negeri Sembilan. – UTUSAN









