Festival Kesenian Rakyat Kelantan tarik 150,000 pengunjung

Festival Kesenian Rakyat Kelantan tarik 150,000 pengunjung

MOHD. Nassuruddin Daud (tiga dari kiri) bersama tetamu kehormat dan anggota kumpulan yang membuat persembahan pada Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2026 di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2026 mampu menjadi pemacu baharu ekonomi pelancongan apabila menarik 150,000 pengunjung memeriahkan majlis tersebut.

Ia sekali gus mengangkat warisan seni dan budaya negeri itu sebagai produk pelancongan utama negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, FKRK bukan sekadar medan memartabat seni serta budaya Kelantan, malah menjadi platform penting merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat menerusi pelbagai pengisian yang berteraskan wa­risan tempatan.

Katanya, antara acara kemuncak adalah persembahan khas Titah Bonda Pusaka Ayahanda yang menggabungkan pergendangan pelbagai kaum sebagai simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat.

“Persembahan berprestij ini menampilkan penggiat seni ter­kenal seperti Roy Kapilla, Amy Search, Datuk Dr. Lim Swee Tin, Paksu Agil, Megat Haikal, Zamry Gerak Khas, Joe Rajuna, Kumpulan Dikir Barat Kala Mahajara dan Kumpulan Mak Yong Kijang Mas.

“Festival ini turut mengetengahkan demonstrasi sukan rak­yat seperti gasing uri, pembuatan wau tradisi dan ukiran emas selain persembahan warisan seperti wayang kulit, Mak Yong, Main Teri serta menora,” katanya selepas perasmian Penutup FKRK di Tok Bali, di sini kelmarin yang disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Mohd. Amran berkata, keunikan festival itu turut diserikan dengan penganjuran kenduri rakyat, perarakan perahu kolek berhias serta Wakaf Seni Budaya yang menghimpunkan persembahan, pameran dan perkongsian ilmu termasuk pengisian khas bertajuk Kejadian di Alam Kecil Rumah Kelantan Tiang 12.

Katanya, festival berkenaan menyaksikan pelancaran Rebana Ubi Inovasi, produk pasang siap yang lebih ringan, praktikal dan mampu milik hasil penyelidikan sejak 2022.

“Inovasi ini bertujuan memperkasa warisan rebana ubi supaya terus relevan dan mudah diwarisi oleh generasi muda.

“Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan kolaborasi unik antara rebana ubi tradisional dan rebana ubi inovasi,” ujarnya.

Menurut beliau, FKRK adalah antara 16 program pelancongan budaya yang dirancang JKKN sepanjang tahun ini bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN