Erling Haaland ‘bintang paling tular’ Piala Dunia 2026

Erling Haaland ‘bintang paling tular’ Piala Dunia 2026

ERLING Haaland tular di media sosial sepanjang Piala Dunia 2026
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ERLING Braut Haaland sudah pun memenangi satu gelaran pada Piala Dunia kali ini, bukan sebagai calon kasut emas, tetapi sebagai ‘pemain paling tular’ di media sosial sepanjang kejohanan.
Penyerang Norway itu sememangnya mempunyai kelompok penyokong yang besar di negara asalnya dan di Manchester, khususnya dalam kalangan penyokong Manchester City.

Walaupun mewakili Manchester City, Haaland turut diminati penyokong Leeds United kerana dilahirkan di Leeds ketika bapanya, Alf-Inge Haaland beraksi untuk kelab itu. Beliau juga membesar sebagai penyokong Leeds.

Selepas Norway mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama, popularitinya kini melangkaui peminat bola sepak. Bukan semata-mata kerana jaringan golnya, tetapi juga kandungan yang dikongsi di luar padang.

Pada minggu pertama Julai, carian perkataan ‘Haaland’ memasuki kelompok 10 carian teratas di TikTok, meningkat lebih 300 peratus berbanding minggu sebelumnya, sekali gus menjadikannya pemain Piala Dunia paling banyak dicari dalam tempoh itu.

Carian bagi ‘Haaland best moments’ pula melonjak 1,300 peratus, manakala lebih 14,000 hantaran menggunakan tanda pagar #Haaland dan #ErlingHaaland direkodkan sejak kejohanan bermula, meningkat hampir 500 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Sepanjang Piala Dunia 2026, kandungan berkaitan Haaland terus mendapat sambutan di Instagram dan TikTok, selain jutaan peminat mengikuti perkembangan hariannya menerusi Snapchat yang kini mempunyai 4.7 juta pelanggan. Bintang muda berusia 25 tahun itu sendiri meninggalkan komen pada beberapa hantaran peminat. Dalam satu hantaran di Instagram, beliau berkongsi meme sebagai reaksi kepada gambar bawang hijau yang dikatakan menyerupai wajahnya.

Pengikut Instagram Haaland meningkat daripada 40 juta kepada 60 juta sepanjang kejohanan, menjadikannya pemain utama dengan pertumbuhan pengikut terpantas. Video Reels miliknya pula mencatat lebih 683 juta tontonan sejak bermulanya Piala Dunia.

Antara kandungan yang mencuri perhatian adalah gambar suntingan bersama watak animasi Shrek dengan kapsyen ‘Selfie with my twin’, menyamar sebagai pelancong di New York memakai topi besbol dan cermin mata hitam, serta mengenakan topi koboi ketika membeli-belah di Texas bagi menggantikan topi keledar Viking yang sinonim dengannya.

ERLING Braut Haaland membawa seekor rakun awet ketika turun dari pesawat selepas pasukan bola sepak kebangsaan Norway tiba di Lapangan Terbang Gardermoen, Oslo. – AFPMalah, Google turut menyertai fenomena itu apabila carian nama Haaland memaparkan animasi pendayung Viking merentasi skrin. Beberapa video turut tular kerana memaparkan sikap rendah diri Haaland. Satu daripadanya, aksi beliau melipat jersinya sebelum menyerahkannya kepada petugas peralatan pasukan, berbeza dengan pemain lain yang mencampakkannya ke lantai.

Sepanjang enam perlawanan Norway di Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS), gaya jalan Haaland turut menjadi ikutan ramai.

Berbeza dengan imejnya bertubuh sasa dan gagah seperti pahlawan Viking, langkah digelar ‘Haaland Walk’ yang sedikit kaku, seakan-akan robot dan kepala sedikit ke hadapan sambil menghayunkan tangan mencuri perhatian peminat seluruh dunia. Rakaman aksi itu dikongsi dan ditiru peminat di semua platform media sosial.

Walaupun langkah Norway terhenti selepas tewas kepada England, kepulangannya ke Oslo tetap mencuri tumpuan apabila membawa seekor rakun awet bernilai AS$750 (RM3,054) yang dibeli di Wild Bill’s Western Store di Dallas ketika turun dari pesawat. Cenderahati itu turut tular selepas Haaland memuat naik gambarnya di media sosial dengan kapsyen ‘ia mengikut saya pulang’, sekali gus mencetuskan pelbagai meme dan menghiburkan peminat.

Sambutan luar biasa terhadap rakun itu juga menyebabkan cenderamata tersebut habis dijual dalam masa singkat, sekali gus mendorong premis berkenaan memperluaskan penghantaran antarabangsa bagi memenuhi permintaan.

Selain lagu Haaland Ha Ha Ha yang melatari ratusan video di TikTok, lagu rap yang pernah dirakam pemain itu sedekad lalu turut kembali menjadi perhatian.

Penyerang Norway itu berusia 15 tahun ketika memuat naik lagu berjudul Kygo Jo di YouTube pada 2016 bersama kumpulan Flow Kingz yang dianggotainya bersama dua rakan sepasukan bawah 17 tahun Norway, Erik Botheim dan Erik Tobias Sandberg.

Walaupun dirakam secara sederhana ketika itu, video asal Kygo Jo kini sudah melepasi 21 juta tontonan di YouTube. Lagu itu kembali mencetuskan fenomena selepas DJ terkenal Norway menghasilkan versi remix yang lebih moden sepanjang Piala Dunia. Dalam tempoh beberapa hari, versi itu melonjak ke tangga teratas carta Spotify di Norway.

Persahabatannya dengan bekas rakan sepasukan di Borussia Dortmund, Jude Bellingham yang mewakili England turut mencuri perhatian. Malah, ada membandingkan mereka dengan dua watak utama dalam siri HBO Heated Rivalry ketika pertemuan Norway dan England.

Setiausaha Kelab Penyokong Rasmi Manchester City, Kevin Parker berkata, Haaland bukan sahaja antara penyerang terbaik dunia, malah memiliki personaliti yang membuatkan ramai mudah menyukainya.

“Orang ramai akhirnya dapat melihat apa yang kami lihat sejak tiga musim lalu. Beliau membawa aura positif kepada bola sepak. Walaupun Piala Dunia kali ini diselubungi kontroversi, setiap perkara dilakukan Haaland memberi suasana positif,” katanya.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN