Setiap ibu bapa pasti risau apabila anak menunjukkan pencapaian kurang memberangsangkan terutama dalam bidang akademik dan lebih membimbangkan, anak sering jatuh sakit seperti kerap demam.
Hakikatnya, ramai ibu bapa tidak menyedari anak ini berkemungkinan mengalami kekurangan sel darah merah akibat kekurangan zat besi yang dikenali sebagai Anemia Kekurangan Zat Besi (IDA).
Kanak-kanak yang mengalami IDA berisiko mengalami masalah kesihatan seperti keletihan, menjejaskan perkembangan kognitif dan seterusnya sukar memberikan tumpuan dalam pembelajaran.
Dianggarkan 90 peratus kanak-kanak yang mengalami IDA tidak menunjukkan gejala yang jelas. Apa yang membimbangkan, apabila tanda-tanda muncul, masalah dialami mungkin sudah berada di tahap lebih serius.
Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga, Dr. Sri Wahyu Taher berkata, lazimnya gejalanya adalah tidak spesifik seperti keletihan, kurang selera makan, perkembangan yang perlahan dan sekali-sekala kulit kelihatan pucat.

“Kita biasanya memandang remeh dan tidak peduli dengan kepentingan zat besi sebagai mikro nutrien untuk otak, elemen kecil yang diperlukan. Zat besi penting untuk perkembangan dan membina bahagian dalaman otak.
“Oleh itu, kekurangan zat besi boleh membantutkan perkembangan otak, bukan saja di bahagian dalamnya tetapi juga fungsinya. Zat besi diperlukan untuk wiring kerana otak kita mengandungi banyak gelombang elektrik yang berkomunikasi dari satu sel ke satu sel untuk berkembang antara satu sama lain,” katanya pada program Arena Generasi Kuat Zat Besi edisi ke empat, dianjurkan oleh Dumex Dugro, di Putrajaya baru-baru yang turut dihadiri, Pengarah Sains Perubatan dan Pemakanan Danone Asia Tenggara, Angie Low.
Katanya lagi, otak mempunyai fungsi khas di mana setiap bahagiannya berbeza dan mempunyai fungsi tersendiri. Bagaimana setiap bahagian ini berkaitan antara satu sama lain adalah menerusi neuron dan komunikasi antara sel-sel otak berlaku disebabkan zat besi.
Kekurangan zat besi akan membantutkan komunikasi antara sel-sel ini. Akibatnya fungsi kognitif otak kanak-kanak tidak akan berkembang seperti sepatutnya, tidak dapat mengingat atau menyimpan memori, hilang fokus atau tumpuan dengan apa yang dipelajari di sekolah.
Zat besi juga penting untuk tumbesaran dan ketinggian anak. Selain itu, zat besi diperlukan untuk pembinaan otot bagi kekuatan tubuh mereka. Zat besi diserap melalui usus dan perlu dibantu dengan sokongan vitamin C.
SIMPTOM ATAU GEJALA
Dr. Sri Wahyu berkata, kekurangan zat besi biasanya tidak menunjukkan simptom atau gejala khusus pada peringkat awal dan biasanya kanak-kanak nampak ceria dan aktif seperti biasa.
“Namun sebaik saja gejala seperti tidak fokus, tidak mahu bermain atau tidak mahu makan muncul, ia sudah serius. Jadi, tanya diri anda adakah ia berlaku disebabkan kekurangan zat besi?, justeru, sebelum gejala ini muncul, perlu langkah pencegahan dengan membawa anak menjalani saringan zat besi di klinik kerajaan atau swasta. Terdapat lebih 1,000 klinik kesihatan sentiasa menyediakan saringan zat besi kepada orang ramai,” katanya.
Katanya lagi, kini terdapat saringan zat besi yang tidak invasif dengan hanya menggunakan peralatan khas berbanding mengambil darah seperti sebelum ini.
Bagaimana pun katanya, tahap kesedaran mengenai IDA dan saringan zar besi dalam kalangan ibu bapa dan ahli keluarga lain masih rendah selain ramai memandang rendah kesan IDA ke atas kanak-kanak.
Tahap kesedaran mengenai kepentingan zat besi perlu dipertingkatkan bukan saja dalam kalangan ibu bapa tetapi juga termasuk setiap lapisan masyarakat. Selain saringan awal secara rutin, pada masa sama, strategi pemakanan yang sesuai juga perlu dirancang bagi menangani IDA dalam kalangan kanak-kanak.
“Ibu bapa boleh memberikan sumber pemakanan mengandungi zat besi seperti susu kepada anak. Sumber lain zat besi seperti ayam, daging, ikan seperti tuna, tongkol dan salmon serta sayur hijau seperti bayam.
“Bagaimana sumber ini mahal menyebabkan ada ibu bapa jarang memberi anak makanan kaya zat besi ini. Bagi memastikan penyerapan zat besi lebih baik, perlu juga Vitamin C yang boleh didapati daripada buah-buahan seperti oren,” katanya.
Katanya lagi, di Klinik Kesihatan, kanak-kanak didapati mengalami bantut dan siasatan daripada darah Hemoglobin ((HB), menunjukkan kurang daripada 12. Mereka juga mengalami kekurangan zat besi selepas pemeriksaan dijalankan.
Walaupun kanak-kanak ini masih boleh diberikan rawatan tetapi malangnya, komplikasi seperti bantut sudahpun berlaku dan sukar untuk mereka mendapatkan ketinggian yang sepatutnya.
Lebih membimbangkan, kanak-kanak IDA mempunyai tahap IQ lebih rendah dengan perbezaan sebanyak 13 mata berbanding kanak-kanak yang mempunyai zat besi mencukupi.
“Bagi kanak-kanak berusia lima tahun sebagai contohnya, kapasiti pembentukan otak sebagai persediaan untuk usia dewasa akan terjejas jika kurang zat besi. Sekiranya pembentukan otak ini terbantut, akan kekal sehingga dewasa.
“Oleh itu, kalau hendak anak pintar dalam akademi tetapi tidak beri zat besi yang cukup, otak mereka tidak akan mencapai pembentukan otak pintar seperti kanak-kanak yang menerima zat besi mencukupi,” katanya.
Zat besi juga penting untuk membentuk sistem imun tubuh iaitu fungsi melawan penyakit. Kekurangan zat besi menyebabkan sel-sel yang membasmi jangkitan kuman dan virus, tidak mampu melawan jangkitan kuman.
Sementara itu, Angie Low berkata, kajian Iron Strong Malaysia mendapati satu dalam tiga (30 peratus) kanak-kanak berisiko menghidap anemia. Kanak-kanak kecil mempunyai risiko anemia yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang lebih tua.

“Dua dalam lima atau 40 peratus kanak-kanak mempunyai pengambilan zat besi yang tidak mencukupi. Kanak-kanak yang berisiko anemia mempunyai pengambilan tenaga, protein, zat besi, vitamin C, B6, dan B12 yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak berisiko,” katanya..-UTUSAN









