Didakwa jadi pembuli, pelakon baharu buat laporan polis - Utusan Malaysia

Didakwa jadi pembuli, pelakon baharu buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon baharu, Sera Melissa, mengambil tindakan membuat laporan polis susulan perkongsian tular seorang individu di media sosial yang mendakwanya sebagai seorang pembuli ketika sekolah rendah.

Menurut pelakon Rahimah Tanpa Rahim itu, hantaran yang tular tersebut secara spesifik menyebut nama watak lakonannya serta tarikh lahirnya, sekali gus menyebabkan orang ramai mengaitkan tuduhan tersebut dengan dirinya.

“Saya memandang serius perkara ini. Sekiranya individu berkenaan benar-benar merujuk kepada saya, saya bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya serta mendapatkan penjelasan melalui saluran yang sewajarnya.

“Sehubungan itu, saya telah membuat laporan polis dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram.

Susulan pendedahan di media sosial itu, pelakon terbabit mengakui telah menerima pelbagai tohmahan serta kecaman hebat daripada warga maya yang terkesan dengan dakwaan berkenaan.

Bagaimanapun, Sera atau Sarah Malisa, 27, menegaskan bahawa dia menghormati proses perundangan dan yakin kebenaran akan terbukti melalui siasatan rasmi kelak.

“Saya percaya bahawa kebenaran akan ditentukan melalui saluran yang sewajarnya.

“Sementara itu, saya berharap semua pihak dapat mengelakkan sebarang spekulasi atau membuat kesimpulan tanpa fakta yang sahih sehingga siasatan selesai,” jelasnya lagi.

Terdahulu, dunia hiburan kecoh apabila seorang pengguna media sosial memuat naik hantaran mendakwa menjadi mangsa buli kepada seorang individu yang kini bergelar pelakon dan terlibat dalam beberapa drama. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN