Dakwaan pertemuan BN, PN, GPS, GRS: Saya tak tahu menahu - Ahmad Zahid

Dakwaan pertemuan BN, PN, GPS, GRS: Saya tak tahu menahu – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengakui tidak tahu menahu mengenai dakwaan kononnya wujud pertemuan pemimpin Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kuala Lumpur, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau telah membuat semakan termasuk menerusi sumber Kementerian Dalam Negeri (KDN) namun, tidak menemukan sebarang maklumat berhubung pertemuan itu.

“Saya tak tahu menahu hal itu. Saya sudah periksa dengan Menteri Dalam Negeri pun mengikut sumber pun tak ada, tak tahu,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan sambutan Hari Imigresen Tahun 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan kononnya akan ada pertemuan blok parti politik termasuk BN di Kuala Lumpur, kira-kira pukul 2 petang ini.

Bagaimanapun, kandungan yang tular di media sosial itu tidak menyatakan dengan jelas motif pertemuan berkenaan.

Ditanya sama ada UMNO dan BN akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, pendirian parti itu telah diputuskan menerusi resolusi Perhimpunan Agung UMNO dan kekal dihormati oleh seluruh kepimpinan parti.

“Itu pendirian dan resolusi kita yang telah kita bawa ke Perhimpunan Agung. Tidak ada badan lebih tinggi daripada Perhimpunan Agung dan kita sangat menghormati keputusan itu.

“Jadi, kita harap janganlah risau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN