PETALING JAYA: “Berani berdiri apabila ada sesuatu yang tidak kena.”
Demikian kata pelakon, Rita Rudaini yang akan menjalani perbicaraan tuntutan balas terhadap saman yang dikemukakan Yang Dipertua Badan Permuafakan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat), Maktab Rendah Sains MARA Sungai Besar, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor dan Naib Yang Dipertuanya, Dr. Saidah Haris.
Kata Rita, tuntutan balas itu menjadi titik penting untuk suara ibu bapa didengari.
“Bulan Oktober nanti, saya akan melangkah ke mahkamah bersama dua individu daripada kepimpinan Muafakat MRSM SUBES.
“Bukan satu perjalanan yang ringan, tetapi mungkin satu titik penting dalam memahami sejauh mana suara ibu bapa benar-benar dihargai dan didengari,” katanya dalam Thread.
Kedua plaintif sekitar Disember lepas memfailkan saman terhadap Rita atas dakwaan menyiarkan beberapa hantaran berunsur fitnah melalui Instagram dan status aplikasi WhatsApp defendan.
Plaintif mendakwa kenyataan itu sebagai tidak benar dan mendatangkan kerugian.
Rita bagaimanapun membuat tuntutan balas terhadap saman berkenaan timbul kenyataan berunsur fitnah dan mengelirukan mengenai dirinya yang dibuat dua plaintif terbabit menerusi sidang media pada 7 Disember lepas.
Dalam pada itu, pelakon berkenaan memaklumkan suara ibu bapa mungkin layak didengari di mahkamah sementalah dinafikan di platform lain.
“Ibu bapa, kita tiada tempat untuk bersuara dalam kumpulan whatsApp tapi mungkin layak di mahkamah. Hasbunallah wanikmal wakil,” katanya lagi.










