Budaya lindungi pesalah tidak boleh wujud dalam PDRM

Budaya lindungi pesalah tidak boleh wujud dalam PDRM

AYOB Khan Mydin Pitchay memeriksa perbarisan ketika Upacara Perbarisan Paluan Berundur, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan budaya melindungi pesalah tidak boleh wujud dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya membabitkan isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebarang salah laku jenayah. 

Timbalan Ketua Polis Negara yang menamatkan perkhidmatannya hari ini berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana anggota atau pegawai yang terlibat dalam kesalahan seperti pemerasan, penculikan atau jenayah lain tanpa mengira pangkat.

“Budaya melindungi pesalah tidak boleh wujud dalam pasukan polis. 

“Ketegasan perlu bermula daripada kepimpinan tertinggi. Jika sesiapa melanggar undang-undang, tindakan mesti diambil tanpa mengira pangkat,” katanya dalam sidang akhbar dalam Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika mengingatkan warga PDRM supaya terus menjadikan integriti dan profesionalisme sebagai prinsip utama dalam melaksanakan tugas.

Ayob Khan dalam ucapannya berkata, beliau mengakui sering dilabel sebagai pegawai yang tegas dan tidak bertolak ansur, khususnya dalam memerangi rasuah, penyalahgunaan kuasa serta jenayah terancang.

Katanya, tanggapan sedemikian tidak pernah menghalangnya daripada melakukan perkara yang diyakini benar.

“Ada yang kata saya terlalu keras dan kurang diplomasi. Itu persepsi mereka. Ada yang suka, ada yang tidak, tetapi saya tidak pernah membiarkan sebarang kritikan menghalang saya daripada melakukan perkara yang betul.

“Sepanjang kerjaya, saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa integriti adalah aset paling bernilai yang dimiliki seseorang.

“Memetik kata-kata daripada sebuah filem, seseorang yang kehilangan wang sebenarnya tidak kehilangan apa-apa, kehilangan rumah hanya kehilangan sesuatu, namun sekiranya kita kehilangan maruah dan peribadi ia adalah bermakna kita kehilangan segala-galanya, katanya.

Tambahnya, watak dan integriti seseorang tidak sepatutnya digadaikan demi kepentingan peribadi.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN