BProperty bangun kilang tayar dengan syarikat China, Wanli Tire di Ulu Selangor - Utusan Malaysia

BProperty bangun kilang tayar dengan syarikat China, Wanli Tire di Ulu Selangor

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berjaya Property Bhd. (BProperty) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Alam Baiduri Sdn Bhd (ABSB), memeterai perjanjian usaha sama (JVA) dengan Trusmax Investment Co., Limited bagi membangunkan perniagaan pembuatan tayar automotif di Malaysia melibatkan pelaburan dianggarkan RM1.3 bilion.

Trusmax merupakan syarikat yang diperbadankan di Hong Kong dan dimiliki sepenuhnya oleh Wanli Tire Co., Ltd, pengeluar tayar milik kerajaan China yang mempunyai modal berdaftar 1.18 bilion yuan (RM708 juta) serta terlibat dalam penyelidikan, pembangunan, pembuatan, jualan dan perkhidmatan tayar.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, BProperty berkata, sebuah syarikat usaha sama baharu akan ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti penyelidikan, pembangunan, reka bentuk, pembuatan dan penjualan tayar automotif serta alat ganti dan komponen berkaitan, selain menyediakan perkhidmatan selepas jualan.

Katanya, ABSB akan memegang pegangan 30 peratus dalam syarikat usaha sama tersebut, manakala baki 70 peratus dimiliki Trusmax.

“Sebagai sebahagian daripada sumbangannya, ABSB akan menyuntik sebidang tanah pegangan bebas seluas kira-kira 27.5 hektar di Sungai Tinggi, Ulu Selangor dengan nilai dipersetujui sebanyak RM118.31 juta.

“Tanah itu merupakan sebahagian daripada kawasan seluas 150.7 hektar yang kini digunakan sebagai ladang kelapa sawit,” katanya.

Menurut BProperty, nilai tanah yang dipersetujui itu mengambil kira kerja pembinaan tertentu serta kos penukaran syarat dan pecah sempadan tanah yang akan ditanggung ABSB, dianggarkan berjumlah RM60 juta.

Jelasnya, daripada keseluruhan kos pembangunan kilang tayar automotif itu, sebanyak RM813.35 juta atau 63 peratus akan dibiayai melalui sumbangan ekuiti oleh ABSB dan Trusmax, manakala baki RM491.45 juta atau 37 peratus akan diperoleh menerusi pembiayaan pinjaman.

“ABSB pula akan menyumbang tunai sebanyak RM125.7 juta, dan bersama kos RM60 juta bagi memenuhi tuntutan, jumlah komitmen syarikat itu mencecah RM185.7 juta yang akan dibiayai melalui dana dalaman serta pinjaman kumpulan,” ujarnya.

BProperty berkata, usahasama itu akan membolehkan kumpulan berkenaan menceburi sektor pembuatan tayar automotif dengan memanfaatkan kepakaran teknikal, pengalaman industri dan pengetahuan pembuatan yang dimiliki Wanli.

“Syarikat itu menjangkakan projek berkenaan tidak memberi kesan material kepada aset bersih dan pendapatan kumpulan dalam jangka masa terdekat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan masa hadapan selepas kilang siap dibina dan memulakan operasi.

“Cadangan usahasama itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham BProperty atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia. Lembaga pengarah BProperty berpendapat usahasama tersebut adalah demi kepentingan terbaik kumpulan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN