PETALING JAYA: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 menuntut seluruh wakil rakyat dan jentera parti bekerja lebih kuat serta keras demi rakyat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kemenangan itu bukan ruang untuk BN mendabik dada atau berasa selesa, sebaliknya amanah besar yang wajib dipikul dan ditunaikan sebaiknya.
Menurutnya, mandat yang diberikan rakyat Johor perlu dibalas dengan kerja keras, khidmat bersungguh-sungguh dan komitmen tidak berbelah bahagi demi rakyat.
“Dalam kemenangan ini, kita harus lebih merendah diri. Dengan mandat yang diberikan, kita mesti bekerja lebih kuat dan lebih keras untuk rakyat.
“Tiada masa untuk mendabik dada, jauh sekali merasa selesa. Kemenangan ini adalah amanah besar yang wajib dipikul dan ditunaikan sebaiknya,” katanya dalam kenyataan.
Asyraf Wajdi turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jentera UMNO dan BN di setiap peringkat termasuk jentera Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, jentera bahagian, cawangan serta semua petugas dan sukarelawan.
Beliau berkata, kejayaan BN dalam PRN Johor adalah hasil kesungguhan dan pengorbanan jentera di lapangan yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen.
“Saya sendiri menyaksikan kesungguhan dan pengorbanan sahabat-sahabat di lapangan. Panas dan hujan ditempuh, masa bersama keluarga dikorbankan, penat dan lelah diketepikan.
“Semuanya demi satu tekad untuk memastikan kestabilan dikekalkan dan kemajuan Johor dapat diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan khusus kepada Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kepimpinan, keyakinan dan kebersamaan bersama seluruh jentera sepanjang menghadapi pilihan raya itu.
“Begitu juga kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor atas kepimpinan dan kesungguhan membawa agenda kemajuan negeri serta menyantuni Bangsa Johor tanpa mengenal penat dan lelah.
“Terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor atas mandat dan kepercayaan yang diberikan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menyifatkan seluruh jentera BN termasuk yang berkampung di Johor dan datang dari seluruh pelosok negara sebagai wira dan wirawati di sebalik kemenangan gabungan itu. – UTUSAN










