Biasanya bas sekolah berhenti di hadapan rumah – Bapa saudara

Biasanya bas sekolah berhenti di hadapan rumah – Bapa saudara

KHAIRUL Annuar Salim menunjukkan arah perjalanan bas sekolah yang membawa anak saudaranya, Muhammad Umar Mohd Faaiz petang, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Ahli keluarga kanak-kanak darjah satu yang maut dilanggar bas sekolah di Taman Sri Lalang, di sini petang kelmarin mempersoalkan tindakan peman­du bas yang tidak menurunkan mangsa di hadapan rumah seperti kebiasaan.

Bapa saudara kepada Muham­mad Umar Mohd. Faaiz, 7, iaitu Khairul Annuar Salim, 50, berkata, kejadian itu sukar diterima mereka kerana mang­sa menggunakan khidmat bas sekolah sama sejak awal persekolahan.

Katanya, simpang tiga yang menjadi lokasi kejadian hanya berjarak kira-kira 100 meter daripada kediaman mangsa.

“Saya tidak sangka perkara ini berlaku kerana selama ini memang dia akan turun di depan rumah. Sebab itu saya tidak pasti kenapa kelmarin dia diturunkan di simpang tiga itu,” katanya ditemui di kediaman keluarga di Jalan Bunga Raya 3, Taman Sri Lalang, di sini semalam.

Tambah Khairul Annuar, dia difahamkan pemandu bas telah memastikan kanak-kanak tersebut melintas jalan melalui bahagian belakang bas sebelum meneruskan perjalanan.

“Bagaimanapun kami tidak tahu bagaimana mangsa tiba-tiba berada di bahagian sisi bas sehingga dilanggar sebelum terjatuh di atas jalan,” katanya.

Menurutnya lagi, Muhammad Umar tinggal bersama datuk dan neneknya, Salim Othman, 72, serta Zaiton Shaari, 70, kerana ibu bapanya bekerja di Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

“Arwah adalah anak sulung daripada tiga beradik dan dijaga oleh datuk serta nenek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian berlaku pukul 4.20 petang ketika mangsa baharu turun daripada bas sekolah dan hendak menuju ke rumahnya.

“Bas dipandu wanita berusia 36 tahun itu bergerak ke depan sebelum membelok ke kiri. Pemandu dipercayai tidak menye­dari kanak-kanak itu masih berada berhampiran kenderaan sehingga berlaku pelanggaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN