PERMATANG PAUH: Kejayaan penganjuran Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HBKIK) 2026 memberi keyakinan bahawa budaya inovasi dalam kalangan warga politeknik dan kolej komuniti (PolyCC) kini sedang berkembang dengan baik.
Perkara itu diakui oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Mohd. Nor Azman Hassan.
Menurut beliau, cabaran seterusnya selepas ini adalah untuk memastikan bahawa setiap cetusan idea daripada konvensyen itu dapat diterjemahkan kepada kaedah penyelesaian yang lebih praktikal.
“Kita juga mahu supaya idea-idea ini memberi impak dan membawa manfaat kepada organisasi, industri serta masyarakat,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup konvensyen tersebut di Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini, semalam.
Objektif penganjuran HBKIK 2026 secara umumnya bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai amalan terbaik dalam menambah baik perkhidmatan awam di samping mengiktiraf usaha menghasilkan pendekatan serta penyelesaian baharu yang kreatif, inovatif serta berimpak tinggi.
Pada konvensyen tersebut, sebanyak 37 kumpulan yang terdiri daripada 203 peserta mengambil bahagian dengan melibatkan 21 politenik dan tujuh kolej komuniti dari 12 negeri di seluruh negara.
Daripada jumlah itu pula, seramai 19 kumpulan bertanding dalam kategori Sosial manakala 18 kumpulan lagi bertanding dalam kategori Penyampaian Perkhidmatan sekali gus mencerminkan keseimbangan penyertaan dalam usaha membangunkan inovasi yang memberi impak kepada organisasi, masyarakat dan pelanggan.
Sempena konvensyen itu juga, Politeknik Port Dickson turut dinobatkan sebagai juara keseluruhan HBKIK 2026 sekali gus diumum sebagai tuan rumah bagi edisi akan datang.
Dalam pada itu, Pengarah PSP, Mohd. Ruzi Hamzah turut mengakui bahawa HBKIK merupakan wadah penting dalam membudayakan inovasi sebagai amalan kerja warga PolyCC.
Katanya, inovasi yang dipamerkan sepanjang konvensyen ini jelas membuktikan bahawa penyelesaian kreatif yang lahir daripada pengalaman sebenar mampu meningkatkan kecekapan pengurusan, penyampaian perkhidmatan serta pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Selaras dengan tema ‘Memacu Gelombang Baharu Inovasi’, HBKIK 2026 turut menampilkan pelbagai inisiatif strategik seperti TVET Collaboration Hub dan Focus Group Discussion bagi pembangunan Diploma Profesional Teknologi Logistik, pertukaran Letter of Intent bersama rakan industri dan sebagainya.
“Semua inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan PolyCC dalam memastikan pendidikan TVET kekal relevan dan memenuhi keperluan industri,” ujar beliau.
Untuk rekod, penganjuran konvensyen ini telah bermula sejak 2016 dan edisi pada tahun ini merupakan penganjuran kali yang ke-10 oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). – UTUSAN










