IPOH: Pemilik motosikal Yamaha RXZ diingatkan supaya mempamerkan sikap lebih matang dengan tidak berlumba atau memecut di jalan raya sehingga mengundang risiko kemalangan.
Bekas pelumba cub prix negara, Wazi Abdul Hamid berkata, ini kerana majoriti pemilik motosikal berkenaan terdiri daripada golongan dewasa, yang sepatutnya mampu mengawal emosi serta mengamalkan tunggangan berhemah.
Menurutnya, mereka bukan lagi dalam kalangan remaja yang lazimnya cenderung melakukan aksi tunggangan berbahaya.
“Kalau kita lihat, pemilik Yamaha RXZ bukan golongan remaja belasan tahun kerana mereka kurang berkemampuan memiliki motosikal RXZ. Sebahagian besar pemiliknya sudah berusia, malah ada yang berumur 40 tahun ke atas.
“Sepatutnya mereka sudah matang. Namun, berdasarkan kemalangan yang melibatkan RXZ, ia bukan mencerminkan corak pemikiran orang yang benar-benar matang.
“Mereka juga terdiri daripada individu yang berjaya kerana mampu membeli RXZ yang kini bernilai antara RM20,000 hingga RM30,000. Mereka mempunyai keluarga, perniagaan dan tanggungjawab, jadi perlu sedar akan tanggungjawab mereka ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Wazi berkata, risiko kemalangan lebih tinggi apabila penunggang menyertai konvoi secara berkumpulan.
Katanya, dalam situasi sedemikian, ada penunggang yang gagal mengawal emosi sehingga terdorong memecut, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.
“Apabila menunggang secara beramai-ramai, lebih mudah berlaku kesilapan. Corak tunggangan juga berbeza berbanding ketika menunggang bersendirian.
“Apabila gagal mengawal perasaan, mungkin ada yang memecut sehingga menyebabkan kemalangan. Mereka tahu perbuatan merempit itu salah, tetapi pada ketika itu mereka mengikut emosi.
“Keadaan ini menunjukkan budaya saling menghormati di jalan raya masih rendah. Pada saya, berkonvoi atau mengadakan perhimpunan penunggang motosikal bukan satu kesalahan, tetapi setiap penunggang perlu bersikap matang dan bertanggungjawab,” katanya.
Mengulas fenomena Yamaha RXZ yang terus mendapat perhatian peminat, Wazi yang pernah digelar ‘Raja Cub Prix’ berkata, motosikal dua lejang itu kekal popular kerana mudah diubah suai bagi meningkatkan prestasinya. – UTUSAN










