JELEBU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Mohd. Umry Abdul Khois merayu pengundi untuk memberi peluang kepadanya berkhidmat di kawasan berkenaan.
Jelasnya, jika diberikan mandat itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini, beliau akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembangunan kawasan Pertang.
Beliau berkata, pencalonannya sebagai anak muda merupakan satu peluang dan cabaran apabila berdepan calon yang mempunyai pengalaman politik serta pernah menerima mandat rakyat lebih daripada dua penggal selain memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen.
“Bagi saya, beliau (Datuk Seri Jalaluddin Alias) telah berkhidmat di peringkat Parlimen dan boleh memfokuskan tanggungjawab di situ.
“Untuk DUN Pertang ini, berilah peluang kepada saya selaku anak muda yang akan memberi fokus kepada kawasan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Umry berkata, persaingan di DUN Pertang bukan hanya berdasarkan latar belakang atau pengalaman politik, sebaliknya melibatkan kemampuan membawa idea serta pendekatan baharu untuk masyarakat.
Katanya, beliau percaya kawasan itu memerlukan wakil yang mampu memberikan tumpuan khusus terhadap isu setempat termasuk memastikan kebajikan rakyat diberi perhatian serta inisiatif dapat disampaikan secara terus kepada masyarakat.
“Kita berlawanan sebenarnya dari segi idea politik dan semangat, tetapi dalam masa sama kita perlu idea lebih segar,” katanya.
Menurut Mohd. Umry, beliau akan mengambil kira mandat yang diberikan rakyat sebagai amanah untuk membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi.
“Saya merupakan anak jati Pertang, keluarga saya berasal di sini, saya bersekolah dan mendapat pendidikan juga di Pertang.
“Berilah saya peluang dalam tempoh lima tahun ini dan rakyat boleh menilai hasil kerja serta khidmat saya sepanjang tempoh tersebut,” katanya.-UTUSAN










