MELAKA: Belum pun sempat menarik nafas selepas membersihkan rumah daripada timbunan lumpur, penduduk di Kampung Bukit Berlian, Kampung Lereh dan Kampung Pengkalan Perigi di sini sekali lagi berdepan banjir kilat yang melanda kediaman mereka kelmarin.
Kejadian itu adalah kali ketiga dalam tempoh sebulan, sekali gus menguji ketabahan penduduk yang semakin hilang harapan apabila terpaksa melalui rutin sama setiap kali hujan lebat melanda.
Musibah itu menyebabkan 17 keluarga membabitkan 55 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pantai Kundor selepas rumah mereka dinaiki air melepasi paras lutut.
Mangsa, Ali Shamani Mohamad, 37, berkata, dia terpaksa membuang sofa, katil dan pelbagai perabot yang rosak selepas ditenggelami air.
“Saya sudah menetap di Bukit Berlian selama 11 tahun. Dalam tempoh tiga bulan ini sahaja, sudah tiga kali rumah kami dilanda banjir.
“Memang penat kerana setiap kali air surut, kami perlu bermula semula membersihkan rumah dan membeli semula barang yang rosak,” katanya ketika ditemui di PPS Pantai Kundor semalam.
Seorang lagi mangsa, Siti Norasikin Abdul Rahman, 44, berkata, kerja-kerja pembersihan rumah masih belum selesai dan mereka dilanda banjir lagi.
Katanya, musibah kali ketiga itu amat memeritkan kerana menjejaskan kehidupan harian mereka.
“Saya berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap masalah penduduk di sini kerana banjir semakin kerap berlaku.
“Kami bukan minta bantuan setiap kali banjir tetapi mahukan penyelesaian jangka panjang supaya masalah ini tidak terus berulang,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Syaril Nizam Madno, 46, berkata, sistem perparitan di kawasan terlibat perlu dinaik taraf, selain kerja-kerja penyelenggaraan longkang dan sungai dilakukan secara berkala.
Katanya, longkang yang tidak diselenggara menyebabkan aliran air tersekat manakala kedudukan kampung berhampiran pantai memburukkan lagi keadaan apabila air pasang menghalang air hujan mengalir keluar.
“Kami harap pihak berkuasa segera membersihkan longkang dan membesarkan sistem saliran. Kalau punca diselesaikan, penduduk tidak lagi perlu menanggung kerugian setiap kali hujan lebat,” katanya.
Jumlah mangsa yang ditempatkan di tiga PPS di Melaka berkurangan kepada 110 mangsa daripada 31 keluarga, setakat pukul 12 tengah hari semalam. – UTUSAN










