PETALING JAYA: Pelakon, Bella Dowanna, memberi bayangan hatinya kini sudah dimiliki, namun memilih untuk merahsiakan identiti jejaka berkenaan daripada pengetahuan umum.
Bella, 23, berkata, dia lebih selesa mengambil pendekatan tersebut kerana bimbang dengan kewujudan pihak ketiga atau penyondol yang boleh mengganggu hubungan mereka.
“Mengenai status hubungan terkini, saya tiada komen. Saya tidak mahu terlalu menunjukkannya sebab nanti orang pula cuba kebas.
“Penyondol ada di mana-mana sekarang. Kena hati-hati, kadang-kadang musuh dalam selimut. Nasihat saya, jangan jadi penyondol,” katanya ketika ditemui pada sesi bersama media bagi drama Ate Kome, I Love You, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Bella mengakui mudah tertarik dengan lelaki yang berusaha mendekatinya secara berbeza daripada orang lain.
“Siapa kata saya masih bujang? Sebenarnya ada pelbagai cara orang cuba mendekati dan mengenali saya. Tetapi yang membuatkan saya tertarik ialah usaha yang ditunjukkan itu berbeza daripada orang lain.
“Cara paling cepat untuk mengambil hati saya ialah mempunyai komunikasi yang baik. Boleh ajak keluar makan, tetapi biarlah dimulakan dengan mesej yang sopan.
“Saya juga tidak kisah jika wanita mahu memulakan langkah pertama, tetapi biarlah berpada-pada,” katanya.
Mengulas mengenai soal perhubungan, Bella berkata, dia tidak bersetuju dengan trend segelintir anak muda yang memilih menjalinkan hubungan tanpa status atau situationship.
Menurutnya, hubungan sedemikian hanya membuang masa dan sering mengundang kekecewaan, khususnya kepada wanita.
“Saya memang tidak suka situationship. Saya mewakili semua wanita untuk berkata ‘tidak’ kepada hubungan seperti itu. Saya sendiri melihat ramai kawan yang terluka disebabkan perkara ini.
“Kalau awak tahu hubungan itu tidak membawa ke mana-mana, kenapa perlu terus bertahan? Keluar sahaja daripada situasi itu. Kita kena berani bersuara dan mempunyai pendirian.
“Jika tidak mampu bersuara, lebih baik hilangkan diri atau ghosting sahaja. Kita tidak rugi apa-apa. Kadang-kadang wanita sukar melepaskan kerana terlalu penyayang dan sudah bergantung dari segi emosi, tetapi kita perlu tegas terhadap diri sendiri,” katanya. -UTUSAN










