KUALA LUMPUR: Seorang juruperunding bebas memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa bekas setiausaha politik (SETPOL), Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad dilihat tidak puas hati ketika mengadu mengenai baki RM2 juta yang sepatutnya diterima daripada Pengarah Urusan Nexuscorpgroup Sdn. Bhd. (NSB), Wan Azhar Mohamed Yusof.
Menurut saksi pendakwaan ke-14, Khairul Nizam Mohd Sayuti, bekas pegawai kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu juga bernada kecewa dan marah ketika mengadu kepadanya perihal perkara itu dalam satu pertemuan di Publika di sini pada 29 Januari 2021.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Hazel Tan Jia Qi: Apakah maksud RM2 juta yang berbaki?
Khairul Nizam: Ini (RM2 juta) yang dinyatakan oleh Sayed Amir kepada saya tetapi saya tidak tahu secara terperinci merujuk kepada nilai apa dan berapa jumlah yang telah diterima dan juga RM2 juta ini adalah sebahagian daripada perjanjian atau pun tidak.
TPR: Boleh huraikan, semasa Sayed Amir mengadu tidak puas hati dan hutang RM2 juta itu, macam mana nada dan tingkah lakunya?
Khairul Nizam: Sebagai layman (orang biasa), yang saya nampak daripada lenggok tubuh Sayed Amir memang tak puas hari dengan Wan Azhar dan nada (suaranya ketika itu), kecewa dan mungkin marah, ketika itu.
Menjawab pertanyaan mengapa Sayed Amir Muzzakkir mengadu kepadanya mengenai RM2 juta tersebut dan bukan terus kepada Wan Azhar, saksi itu memberitahu mungkin kerana pengarah syarikat NSB itu sudah tidak melayannya.
“Saya rasa sebab beliau (Sayed Amir) dah cuba hubungi Wan Azhar tetapi Wan Azhar tak layan panggilan atau pesanan dari Sayed Amir lagi jadi sebab itu beliau (Sayed Amir) hubungi saya untuk sampaikan pesanan kepada Wan Azhar,” kata Khairul Nizam.
Tambahnya, selepas pertemuan tersebut, Wan Azhar ada memintanya untuk memaklumkan kepada Sayed Amir; sekiranya dihubungi oleh lelaki berkenaan untuk menyelesaikan bayaran, agar memberitahu tertuduh bahawa pengarah syarikat itu “telah `surrender’ dan tidak boleh nak bayar kerana bayaran daripada pihak PDRM masih sangkut”.
“Saya hanya tahu Wan Azhar perlu membuat bayaran kepada Sayed Amir, tetapi saya tidak tahu jadual pembayaran dan pecahan pembayaran yang perlu dibuat oleh Wan Azhar kepada Sayed Amir Muzzakkir.
“Saya juga tidak tahu berapa jumlah sebenar yang telah dibayar oleh Wan Azhar kepada Sayed Amir. Saya juga tidak pernah melihat atau menghadiri dalam mana-mana transaksi pembayaran oleh Wan Azhar kepada Sayed Amir,” katanya.
Sayed Amir Muzzakkir didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Wan Azhar sebagai upah membantu NSB mendapatkan Tender Terbuka Pra-Kelayakan, Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNET Untuk Polis Diraja Malaysia.
Sayed Amir Muzzakkir juga dituduh meminta suapan RM350,000 daripada individu sama untuk tujuan yang serupa di pejabat NSB di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, Shah Alam, pada 4 petang awal Disember 2020.
Terdahulu, ketika dirujuk kepada penyataan saksinya, Khairul Nizam menjelaskan bahawa istilah`bayar cukai’ yang dinyatakan dalam dokumen terbabit merujuk kepada komisen yang perlu dibayar oleh Wan Azhar kepada Sayed Amir Muzzakkir.
TPR: Kenapa perlu bayar komisen ini?
Khairul Nizam: Mengikut pengetahuan saya, ini (komisen) yang telah dipersetujui oleh kedua pihak (Wan Azhar dan Sayed Amir).
Selain itu, saksi itu memberitahu bahawa Wan Azhar ada memaklumkan kepadanya bahawa Sayed Amir ada menghubungi pengarah syarikat itu dan bertanya kepada Wan Azhar tidak menghubunginya kerana beliau (Sayed Amir) boleh membantu Wan Azhar mendapatkan projek RMPNET tersebut.
TPR: Apa yang dimaksudkan dengan membantu untuk dapatkan projek itu?
Khairul Nizam: Dari pemahaman saya, membantu ketika itu ialah memastikan NSB mendapat projek (RMPNET) tersebut.
TPR: Kenapa Sayed Amir cakap boleh bantu dapatkan projek itu?
Khairul Nizam: Saya percaya ketika itu dengan kedudukan yang beliau ada, beliau dapat membantu dalam memastikan projek itu dianugerahkan kepada NSB.
TPR: Pada ketika itu, apa kedudukan Sayed Amir?
Khairul Nizam: Yang saya tahu, beliau SecPol (setiausaha politik) Menteri Dalam Negeri.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 19 Ogos ini. – UTUSAN










