Baki 25 peratus syor RCI TH akan diselesai segera - Zulkifli

Baki 25 peratus syor RCI TH akan diselesai segera – Zulkifli

DR. Zulkifli Hasan di sidang media majlis Muzakarah Anjuran Co-Op Bank Pertama (CBP) Perkasa Naratif dan Kredibiliti Sistem Kewangan Islam di ibu negara, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan  menyelesaikan baki 25 peratus daripada 25 syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) secepat mungkin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, baki syor berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kesesuaian dan keperluan semasa.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan itu perlu dibuat secara teliti mengambil kira pelbagai aspek berkaitan.

“Sememangnya ada (garis masa). Kita akan melakukan seberapa cepat yang mungkin, tetapi ia mengikut realiti yang ada.

“Ia dilakukan dengan penuh bijaksana, mengambil kira realiti dan segala aspek yang perlu kita tangani,” katanya ditemui pada Muzakarah Muamalat dan Kewangan Islam 2026 di Hotel Royale Chulan, di sini hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan TH mengalami kerugian kira-kira RM10 bilion susulan kegagalan mematuhi peraturan, kelemahan tadbir urus dan kesilapan pelaburan yang berlaku dalam tempoh 2014 hingga 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri oleh Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussain yang pernah menganggotai RCI berkenaan.

Menurut Anwar, kerugian kira-kira RM10 bilion itu berpunca daripada pelaburan yang tidak mematuhi peraturan serta kelemahan dalam tadbir urus.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, sebanyak 75 peratus daripada 25 syor RCI berkenaan sudah diselesaikan dengan baik.

Menurut beliau, pelaksanaan sebahagian besar syor itu menunjukkan TH kini berada pada landasan yang tepat khususnya dari aspek kemampanan, deposit dan pengurusan.

“Dari segi kemampanan, deposit dan pengurusan Tabung Haji, pengurusan haji kita mendapat pengiktirafan di peringkat dunia.

“Jadi, kita sentiasa terbuka dan melihat bahawa RCI ini memberikan peluang kepada kita untuk memperkukuhkan lagi institusi dan kita sentiasa bersedia untuk melakukan perubahan,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN