Baik pulih sekolah daif seluruh negara selesai tiga tahun lagi

Baik pulih sekolah daif seluruh negara selesai tiga tahun lagi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerja-kerja pembangunan semula bangunan sekolah daif di seluruh negara dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun lagi, dengan setakat bulan lalu, sebanyak 813 projek siap sepenuhnya manakala 173 lagi masih dalam pembinaan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, sebanyak 264 projek lagi berada pada peringkat prabina dengan tempoh pelaksanaan antara enam hingga 36 bulan (tiga tahun), tertakluk kepada skop projek dan keperluan kerja penyediaan tapak.

Katanya, keseluruhan 1,250 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif telah diluluskan dengan kos berjumlah RM13.8 bilion.

“Bilangan sekolah daif seperti dilaporkan media baru-baru ini adalah bersifat dinamik dan ia berubah dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

KPM memaklumkan semua projek dilaksanakan secara berperingkat dan dipantau rapi melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Usaha ini bertujuan memastikan akses pendidikan berkualiti dan persekitaran pembelajaran lebih kondusif kepada semua murid, guru dan masyarakat di seluruh negara.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, ba­ngunan sekolah termasuk yang sudah lama beroperasi perlu dinilai semula, mengambil kira aspek perubahan saiz fizikal pelajar ketika ini.

Ia juga mengambil kira kepadatan bangunan, corak pergerakan harian dan tingkah laku penggunanya.

Penilaian semula perlu di­buat terhadap ketinggian penghadang, jarak bukaan railing, kekuatan sambungan, tahap kakisan, keretakan konkrit dan kestabilan susur tangan.

Ini termasuk keupayaan penghadang menahan beban mendatar apabila pelajar bersandar, bertolak-tolakan atau berkumpul di kawasan koridor dan tangga.

Aspek keselamatan bangunan dan infrastruktur sekolah di negara ini perlu ditambah baik termasuk bagi me­ngelak insiden pelajar terjatuh dari tempat tinggi berulang.

Koridor, tangga dan dinding penghadang di setiap tingkat merupakan ka­wasan yang perlu diberikan keuta­ma­an kerana sering men­jadi tempat tumpuan pelajar berkumpul.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Dewan Rakyat kelmarin berkata, kementeriannya akan mewujudkan penyelaras keselamatan di setiap sekolah dibantu kepakaran Institut Keselamatan dan Kesihatan

Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi memperkukuh ekosistem keselamatan.

Katanya, inisiatif itu melibatkan latihan dan bimbingan menyeluruh daripada NIOSH, khususnya dalam aspek keselamatan bangunan, longkang, pencegahan kebakaran dan pengurusan risiko di sekolah.

Langkah berkenaan sebahagian daripada usaha berterusan KPM untuk memastikan persekitaran sekolah sentiasa selamat buat murid, guru dan warga sekolah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN