Bacaan kedua RUU pisah kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya ditangguh

Bacaan kedua RUU pisah kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya ditangguh

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) bagi memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya ditangguhkan sehingga selepas cadangan pindaan itu dipersembahkan untuk makluman Majlis Raja-Raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah berkenaan dibuat sebagai menghormati institusi Raja Berperlembagaan serta memastikan proses reformasi perlembagaan dilaksanakan secara tertib dan berhemah.

“Kerajaan bercadang untuk menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja mengenai cadangan pindaan lanjut yang dibawa pada hari ini. Langkah ini diambil sebagai satu penghormatan Institusi Raja Berperlembagaan dan memastikan proses reformasi perlembagaan ini dilaksanakan secara tertib dan berhemah selaras perlembagaan negara.

“Kerajaan bercadang untuk meneruskan prosiding untuk bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 termasuk perbahasan dan proses membuat keputusan mengenainya pada mesyuarat Dewan Rakyat berikutnya selepas Majlis Raja-Raja dipersembah maklum mengenai cadangan pindaan tersebut.

“Menurut Peraturan Mesyuarat 62 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya memohon supaya prosiding bacaan kali kedua RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 ditangguhkan dan diteruskan pada mesyuarat Dewan Rakyat akan datang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Azalina, penangguhan itu turut mengambil kira pelbagai pandangan, cadangan serta maklum balas yang diterima daripada Ahli Parlimen dan pihak berkepentingan sejak RUU berkenaan dibentangkan.

Menurut beliau, semua pandangan tersebut perlu diberi pertimbangan sewajarnya memandangkan reformasi berkenaan mempunyai kepentingan besar terhadap sistem perundangan dan keadilan negara.

“Sejak RUU ini dibentangkan di hadapan Ahli Parlimen, pelbagai pandangan, cadangan dan maklum balas membina daripada Ahli Parlimen serta pihak berkepentingan telah diterima.

“Mengambil kira kepentingan reformasi ini kepada sistem perundangan dan keadilan negara, kerajaan berpandangan segala pandangan tersebut wajar diberi pertimbangan sewajarnya sebelum RUU ini dibawa semula ke Dewan ini,” katanya.

RUU berkenaan sebelum ini dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 23 Februari lalu, namun menerima pelbagai pandangan serta bantahan daripada Ahli Parlimen di kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang.

Susulan itu, RUU tersebut dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi penelitian lanjut sebelum beberapa cadangan pindaan baharu dirangka selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Bagi memastikan RUU berkenaan diluluskan, ia memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 148 Ahli Parlimen iaitu majoriti dua pertiga daripada keseluruhan 222 ahli Dewan Rakyat.

Antara cadangan pindaan terbaharu ialah memberi peranan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk meneliti serta menyaring calon bagi jawatan Pendakwa Raya sebelum proses pelantikan dibuat.

Berdasarkan cadangan itu, nama calon Pendakwa Raya akan dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk pertimbangan.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen kemudiannya akan menilai kelayakan calon berkenaan sebelum Dewan Rakyat mengesyorkan satu nama kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Suruhanjaya itu seterusnya akan mengemukakan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan pelantikan.

Cadangan pindaan lain termasuk menetapkan tempoh perkhidmatan Pendakwa Raya selama tujuh tahun tanpa pilihan pembaharuan, mewajibkan laporan tahunan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dibentangkan di Parlimen, selain tertakluk kepada kod etika khusus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN