SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertimbangkan untuk menawarkan harga tiket madani dan mesra dengan poket rakyat bagi perlumbaan Formula Satu.
Beliau mengakui ada menerima permintaan daripada rakyat mengenai harga tiket yang tinggi bagi menyaksikan perlumbaan antarabangsa di Sepang pada Oktober ini.
“Orang yang dah beli tiket pun ramai dah. (Ada rungutan) tiket mahal sebab harga antarabangsa.
“Ada orang tanya, PMX ada harga tiket madani ke? Awal-awal dia kata, kami kalau nak beli tiket paling murah RM200. Bagilah tiket Madani ada tak?”
“Insya-Allah tetapi jauh sikitlah duduknya, jangan bayar harga tiket Madani tetapi hendak duduk (di barisan) depan,” katanya semasa program ramah mesra bersama Pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPPK) di Dewan The Grand, Lukut, di sini hari ini.
Semalam, penganjur perlumbaan F1 mengumumkan Litar Antarabangsa Sepang menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu yang dijadualkan semula pada 2 hingga 4 Oktober ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan GP Hungary, Liberty Media memaklumkan perlumbaan itu akan dikenali secara rasmi sebagai `GP Bahrain Gulf Air di Malaysia’. – UTUSAN










