Anwar minta rakyat bagi mandat pada PH

Anwar minta rakyat bagi mandat pada PH

Anwar Ibrahim beramah mesra dengan hadirin pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Pemimpin JPPK Negeri Sembilan di Port Dickson, semalam. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Rakyat perlu terus memberikan mandat kepada Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan pentadbiran negeri bagi memastikan segala usaha, dasar dan inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan secara berkesan demi kesejah­teraan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap usaha dan bantuan yang di­salurkan oleh kerajaan perlu dipastikan sampai kepada rakyat, selain memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat mengenai pelbagai inisiatif yang disediakan.

“Bagi mandat, cerita baik tidak sampai pada rakyat. Negara ini baik, polis jaga keamanan, pelancongan kita bagus.

“Nilai kita (berdasarkan rekod pentadbiran kerajaan ne­geri). Adakah kerajaan ini songlap? Nilai pemimpin pada amalnya. Kita hendak cari pe­mimpin. Pertahankan kerajaan negeri yang rekodnya baik.

“Jadi kalau Amin (Datuk Seri Aminuddin Harun) Menteri Besar, kerajaan negeri pun kuat, senanglah kerja kita.Saya hendak beritahu apa peranan JPPK ini dan apa yang dapat disumbangkan di peringkat negara. Itu yang menyebabkan kita rasa syu­kur dan bangga dengan negara kita. Manfaatkanlah dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program ramah mesra bersama Pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPPK) di Dewan The Grand, Lukut, di sini hari ini.

Anwar pada masa sama meminta pemimpin di peringkat kampung memainkan peranan dengan menyampaikan cerita baik kepada penduduk agar manfaatnya dapat dirasakan semua pihak.

“Apa peranan JPPK? manfaatkan sebaiknya. Sekarang kita bagi tumpuan kerajaan jaga rakyat. Macam projek-projek di kampung.

“Apakah ini semua yang baru? Tak. Dulu pun ada. Tapi kalau ketua kampung tahu, cara kita tumpu sekarang jauh lebih serius dan sungguh daripada dulu.

“Saya bagi satu amanah kepada JPPK semua. Kerjalah, bagilah penerangan yang baik. Pertahankanlah kerajaan yang rekodnya baik. Supaya bila kita boleh kerja berpasukan. Saya pun tentunya lebih senang, kerja dengan seorang sahabat yang rekodnya baik. Jadi kita boleh tumpu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan penduduk kampung mendapat manfaat besar daripada program Sejati Madani hasil cetusan ideanya sendiri dalam pembangunan ekonomi yang tidak semestinya bermula dengan projek berskala besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN