Aminuddin tinjau proses undi awal di Kem Segenting

Aminuddin tinjau proses undi awal di Kem Segenting

AMINUDDIN Harun ketika membuat tinjauan di pusat pengundian awal di Dewan Tan Sri Mohammad Kem Segenting, Si Rusa, Port Dickson, hari ini.- UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Kem Segenting, Si Rusa di sini berjalan lancar sebaik sahaja proses pengundian bermula secara rasmi pada pukul 8 pagi ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Dewan Tan Sri Mohammad di sini mendapati anggota tentera dan pasangan mula hadir seawal pukul 7.30 pagi bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Calon Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun turut meluangkan masa meninjau proses pengundian di pusat berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi.

Beliau berkata, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menunjukkan tahap disiplin yang tinggi, sekali gus yakin peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi awal akan memberangsangkan.

“Pasukan keselamatan sama ada polis atau tentera amat berdisiplin. Saya yakin peratusan mereka keluar mengundi akan tinggi.

“Kita lihat sejak awal lagi mereka hadir bersama keluarga untuk mengundi. Ini menunjukkan disiplin tinggi dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

“Insya-Allah, peratusan keluar mengundi di pusat pengundian awal ini akan menjadi antara yang tertinggi pada pilihan raya kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Pusat Mengundi Awal di Dewan Tan Sri Mohammad Kem Segenting di sini hari ini.

Terdapat seramai 2,222 pengundi awal termasuk pasangan anggota berdaftar untuk mengundi di pusat pengundian awal di sini

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan tiba di pusat pengundian berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi.

Terdahulu, beliau turut membuat tinjauan proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

Kerusi DUN Linggi menyaksikan saingan tiga penjuru antara Datuk Seri Aminuddin Harun (PH), Datuk Mohd. Faizal Ramli (Barisan Nasional) dan Datuk Zamri Md. Said (Bersatu).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN