KUALA PILAH: Mana-mana pihak termasuk pemimpin parti politik diingatkan supaya tidak menyentuh isu etnik, agama, budaya dan latar belakang kaum lain kerana perkara itu boleh menimbulkan pelbagai tafsiran dan menjejaskan keharmonian masyarakat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tersebut hanya akan membuka ruang kepada salah faham serta perpecahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara yang dibina atas kepelbagaian kaum dan budaya, justeru semua pihak perlu menghormati kemajmukan rakyat.
“Saya tidak mahu timbul sebarang interpretasi yang akhirnya meresahkan pelbagai pihak. Jika hasrat beliau adalah untuk memperlihatkan penyatuan dalam kalangan umat, tidak perlulah menyentuh soal etnik, agama, budaya dan latar belakang kaum-kaum lain di negara ini.
“Saya yakin dengan kemajmukan rakyat di negara ini. Kepelbagaian latar belakang ini merupakan sunatullah yang telah ditentukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Salam Agrikomoditi Madani di Dataran Melang, Kuala Pilah, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika berucap pada ceramah di Jempol yang menyatakan orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air mereka.
Manakala, orang India mempunyai India dan orang Cina mempunyai China sebelum mengajak Pas serta UMNO kembali bersatu bagi mempertahankan bangsa dan agama.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya mahu menjalinkan hubungan yang baik, ia perlu dilakukan dengan cara yang betul tanpa membangkitkan perkara yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat.
“Jadi, tidak perlulah menyentuh perkara-perkara sedemikian. Jika mereka berhasrat untuk berkawan, berkawanlah dengan cara yang baik, bukan dengan menyentuh perkara-perkara lain,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, beliau tidak berniat untuk menasihati Muhammad Sanusi, sebaliknya hanya mahu mengingatkan bahawa kenyataan sedemikian mungkin lebih sesuai disampaikan kepada khalayak di Kedah.
“Ucapan beliau mungkin sesuai untuk khalayak di negeri Kedah. Saya tidak berhasrat untuk menasihati, sebaliknya sekadar ingin mengingatkan.
“Biarpun ada harimau di dalam dada beliau, pada saat ini amat sesuai jika yang keluar daripada kalam beliau hanyalah kambing sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta Muhammad Sanusi memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya di Kedah dan tidak perlu hadir berkempen di Negeri Sembilan sehingga hari pengundian.
“Kalau boleh, sehingga hari Sabtu nanti, yang berbaki enam hari lagi, saya fikir lebih baik beliau menumpukan perhatian kepada tanggungjawabnya di negeri Kedah.
“Tidak perlu datang ke Negeri Sembilan. Biarlah kami menguruskan Negeri Sembilan dengan cara kami sendiri. Yang lain-lain datang itu tidak mengapa,” katanya. – UTUSAN










