HULU TERENGGANU: Kerajaan Negeri Pahang menyelesaikan hampir keseluruhan isu pemilikan tanah peneroka Felda apabila 99.5 peratus daripada lebih 43,600 peneroka di negeri itu menerima surat hak milik masing-masing.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini hanya lebih 200 kes masih berbaki yang kebanyakannya melibatkan urusan pewarisan dan dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya tahun ini.
Katanya, pencapaian itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan kebajikan peneroka terus terbela di samping menyelesaikan isu pemilikan tanah yang berlarutan sekian lama.
“Jika dilihat kepada permohonan peneroka untuk mendapatkan surat hak milik tanah, penyelesaiannya kini sudah mencapai kira-kira 99.5 peratus. Daripada lebih 43,600 peneroka, hanya tinggal lebih 200 kes yang melibatkan masalah warisan dan insya-Allah semuanya akan diselesaikan pada tahun ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Jenagor, di sini hari ini.
Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kerajaan negeri komited terhadap penyelesaian isu pemilikan tanah kerana ia melibatkan hak serta masa depan keluarga peneroka Felda.
Katanya, usaha tersebut turut dilaksanakan di negeri lain termasuk Johor yang mengeluarkan kira-kira 14,000 hingga 16,000 surat hak milik kepada peneroka.
Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang mengambil langkah menjaga kebajikan generasi kedua Felda dengan menyediakan kira-kira 16,000 blok tapak rumah bagi membolehkan anak-anak peneroka memiliki kediaman sendiri.
“Ini menunjukkan kerajaan sentiasa mendengar suara rakyat dan berusaha memenuhi keperluan mereka, khususnya masyarakat Felda,” katanya. – UTUSAN










