8.3 juta terdedah banjir

8.3 juta terdedah banjir

KOLAM Sri Murni di Selayang, Kuala Lumpur berfungsi sebagai kawasan tadahan air bagi menampung limpahan air hujan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 8.3 juta penduduk di Lembah Klang bakal berdepan risiko banjir berterusan susulan kapasiti kolam takungan banjir di Kuala Lumpur kini hanya tinggal kira-kira 30 peratus daripada keluasan asal 114.5 hektar.

Pengerusi Gabungan Selamatkan Kuala Lumpur (SKL), Datuk M. Ali berkata, penyusutan itu berlaku selepas sebahagian besar kawasan berkenaan diberikan hak milik kepada pemaju bagi tujuan pembangunan.

Menurutnya, banyak kawasan yang sebelum ini berfungsi sebagai kolam tadahan dan kawasan resapan air kini bertukar menjadi projek pembangunan berintensiti tinggi tanpa mengambil kira keupayaan sistem saliran menampung peningkatan jumlah air hujan.

“Keadaan itu menyebabkan kawasan bandar semakin terdedah kepada kejadian banjir kilat walaupun hujan berlaku dalam tempoh singkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, ancaman banjir kilat di Lembah Klang bukan lagi hanya berlaku ketika musim monsun, sebaliknya boleh berlaku setiap kali hujan turun walaupun hanya sekitar 20 minit.

Sehubungan itu, katanya, setiap pembangunan baharu di ibu kota perlu disertakan dengan kajian impak hidrologi yang menyeluruh serta langkah mitigasi bagi memastikan fungsi kolam takungan dan kawasan resapan air tidak terjejas.

Beliau berkata, pembangunan yang mengabaikan fungsi alam sekitar boleh meningkatkan risiko kerosakan harta benda selain mengancam keselamatan jutaan penduduk di kawasan bandar.

Katanya, kawasan hijau, ruang lapang dan kolam tadahan air bukan sekadar kawasan kosong, sebaliknya memainkan peranan penting sebagai sistem semula jadi yang membantu mengawal aliran air ketika hujan lebat.

“Jika trend ini berterusan, kesan banjir akan semakin buruk kerana sistem sedia ada tidak lagi mampu menampung peningkatan aliran air akibat pembangunan pesat.

“Pembangunan tidak seharusnya dilaksanakan dengan mengorbankan kawasan hijau dan sistem semula jadi yang menjadi perlindungan utama daripada bencana banjir,” katanya.

Antara kawasan yang terkesan akibat perubahan fungsi kolam tadahan ialah Taman Sri Muda, Shah Alam yang pernah dilanda banjir besar pada 2021 susulan isu kapasiti sistem saliran dan kawasan takungan air.

Selain itu, kawasan Kepong dan Jinjang di Kuala Lumpur turut pernah dibangkitkan oleh aktivis alam sekitar berhubung isu pengecilan atau penambakan kolam tadahan bagi tujuan pembangunan.

Di Puchong dan Subang Jaya pula, pembangunan pesat sektor perumahan dan komersial menimbulkan kebimbangan penduduk terhadap pengurangan kawasan resapan air yang boleh meningkatkan risiko banjir terutama ketika hujan lebat.

Di Lembah Klang, khususnya Kuala Lumpur, awal bulan ini sahaja beberapa kali berlaku banjir kilat, termasuk di tiga lokasi sekitar ibu negara. Kejadian terbaharu melibatkan Medan Selera 223 di Seksyen 51A, Petaling Jaya yang dilanda banjir kilat buat kali kelima dalam tempoh dua bulan.

Kejadian berulang itu menunjukkan terdapat kelemahan dalam perancangan pembangunan serta pengurusan sistem saliran bandar.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai kecuaian melampau pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak yang bertanggungjawab merangka dasar pembangunan.

“Semua kolam tadahan air, kawasan hijau dan ruang lapang awam yang telah diserahkan tanpa rundingan awal bersama rakyat perlu dikembalikan kepada status asal dengan segera.

“Arahan mengenai pengekalan kolam tadahan air pernah dikeluarkan Perdana Menteri sebelum ini, tetapi sehingga kini ia kekal sebagai kenyataan di atas kertas sahaja.

“Sudah lebih sembilan bulan arahan itu dikeluarkan, namun tiada sebarang tindakan susulan yang nyata diambil di peringkat pelaksana,” katanya.

Menurut beliau, Perdana Menteri perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang gagal mematuhi dan melaksanakan arahan berkaitan pemeliharaan kawasan tadahan air.

“Tindakan PBT meluluskan projek pembangunan secara melulu tanpa kelengkapan infrastruktur asas seperti sistem perparitan yang berkesan, bekalan air, elektrik dan pengurusan trafik secara holistik hanya mewujudkan situasi zero sum.

“Dalam keadaan ini, pemaju mengaut keuntungan dan PBT berpuas hati dengan hasil kutipan premium serta cukai, manakala rakyat di kawasan sekitar menjadi mangsa yang menanggung penderitaan,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr. Aweng Eh Rak berkata, kelemahan sistem saliran di Lembah Klang berpunca daripada perancangan pembangunan yang tidak mengambil kira keperluan sistem saliran sejak peringkat awal.

Katanya, sistem saliran sepatutnya dirancang dan dibina ketika penyediaan pelan induk pembangunan, bukannya selepas pembangunan siap dilaksanakan.

“Sistem saliran perlu menjadi sebahagian daripada perancangan awal sesuatu kawasan pembangunan bagi mengelakkan risiko banjir kilat. Perubahan iklim turut menyebabkan kejadian hujan ekstrem semakin kerap,” katanya.

Beliau berkata, usaha menambah baik sistem saliran tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembesaran longkang, sebaliknya perlu menggunakan pendekatan mengurangkan kadar air larian permukaan.

Antara langkah yang dicadangkan ialah menukar permukaan jalan berturap kepada bahan telap air seperti paving block, memperbanyakkan penanaman pokok serta menyelenggara dan menaik taraf sistem saliran secara berkala.

Selain itu, setiap kediaman dan pembangunan baharu perlu diwajibkan menyediakan sistem takungan air hujan bagi mengurangkan jumlah air larian permukaan yang menjadi antara punca utama banjir kilat.

“Permukaan simen di kawasan bangunan atau rumah kediaman boleh digantikan dengan kawasan berumput atau bahan yang lebih telap air bagi membantu proses resapan.

“Pendekatan ini penting kerana semakin banyak permukaan keras dibina, semakin cepat air hujan mengalir ke sistem perparitan utama dan meningkatkan risiko banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN