20 maut, terowong runtuh - Utusan Malaysia

20 maut, terowong runtuh

TANGKAP layar sebuah terowong hidroelektrik runtuh. - All Indian Radio/X
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Angka kematian akibat runtuhan terowong di sebuah projek hidroelektrik yang sedang dibina di kawasan terpencil timur laut India meningkat kepada sekurang-kurangnya 20 orang, kata pihak berkuasa pada Rabu.

Insiden itu berlaku pada Isnin di daerah Namchi, negeri Himalaya Sikkim, ketika pekerja sedang membina sebuah terowong bagi projek hidroelektrik milik kerajaan di Sungai Teesta.

“Daripada 25 pekerja yang terperangkap, 13 mayat telah berjaya dikeluarkan setakat ini,” kata Pengarah Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negeri Sikkim, Rajiv Roka kepada AFP.

“Pasukan penyelamat turut melihat tujuh hingga lapan lagi mayat di dalam terowong tetapi mereka masih belum dapat mengeluarkannya,” tambahnya..

Menurut pihak berkuasa, usaha menyelamat terjejas akibat takungan air dan kebocoran gas metana daripada formasi batuan bawah tanah di lokasi kejadian.

“Terdapat takungan air kira-kira 0.76 meter dalam, menyebabkan usaha mengeluarkan mayat menjadi sukar,” kata Roka.

“Melihat kepada keadaan itu, saya tidak fikir masih ada mangsa yang terselamat,” ujarnya.

Wilayah itu dilanda hujan monsun lebat sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Menurut Perbadanan Kebangsaan Tenaga Hidroelektrik (NHPC), runtuhan itu berpunca daripada pelepasan letupan gas metana yang dipercayai terperangkap atau terkandung dalam batuan, sekali gus menghasilkan asap tebal dan gas toksik.

“Siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” kata syarikat itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN